ENAM bulan selepas kejadian maut insiden tembakan di masjid Quebec City, Kanada, kereta presiden masjid itu pula sengaja dibakar, semalam.
Pusat Pembudayaan Islam Quebec dalam satu kenyataan berkata insiden itu “satu lagi perbuatan penuh kebencian” yang menyasarkan kepada masjid dan presidennya Mohamed Labidi sebagai tambahan kepada banyak insiden lain.
Kereta itu dibakar pada 6 Ogos tetapi hanya dimaklumkan kepada umum semalam bagi membolehkan polis membuat siasatan.
Pegawai masjid dan datuk bandar mengaitkan kebakaran itu dengan pengumuman pada 4 Ogos mengenai pembukaan tanah perkuburan Islam yang pertama di bandar itu.
Polis tidak mengetepikan apa juga motif, sama ada ia jenayah kebencian terhadap umat Islam atau sekadar tindakan rambang vandalisme, kata jurucakap polis Jean-Francois Vezina.
Perbuatan berunsur perkauman dan kebencian terhadap masyarakat Islam di Quebec City semakin meningkat dan membimbangkan.
Insiden itu berlaku ketika ekstremis nasionalis atau kumpulan berhaluan kanan di wilayah Kanada itu semakin vokal terhadap imigresen dan “radikal Islam”.
Pada Jun, satu kumpulan meletakkan kepala babi di pintu masuk masjid yang turut menjadi sasaran penembak.
Polis menyiasat insiden itu tetapi setakat ini belum ada suspek. – AFP, 31 Ogos, 2017.
Komen