Pakatan perlu angkat agenda Melayu


PEMUDA Bersatu Selangor menyokong serta menyambut baik kenyataan YB Najwan Halimi, ketua AMK Selangor merangkap Adun Kota Anggerik, yang mahu supaya seluruh komponen Pakatan Harapan (PH), khususnya kepimpinan di peringkat atasan agar fokus kepada agenda orang Melayu.

Peristiwa-peristiwa kebelakangan ini seperti kekalahan parti kerajaan di pilihan raya kecil Cameron Highlands digabungkan pula dengan taktik keji Umno/PAS menggunakan sentimen perkauman sebagai alat meraih simpati dan undi orang Melayu, sedikit sebanyak memberi kesan kepada persepsi rakyat terhadap keikhlasan PH dalam menjuarai isu-isu orang Melayu.

Kepimpinan PH tidak boleh menafikan hakikat bahawa secara terkumpul pun, pecahan sokongan orang Melayu kepada semua parti komponen PH, masih jauh lebih kecil dari yang dinikmati Umno dan PAS.

Tentu sekali meraih sokongan mereka akan mengambil masa, khususnya bagi orang Melayu luar bandar. Tujuh puluh tahun mereka diasimilasi dengan parti Umno/PAS, tentu sekali ia tidak akan berubah dalam masa tidak sampai setahun.

Bersatu kekal perjuangan hak orang Melayu

Pemuda Bersatu Selangor khuatir, terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba memaksa orang Melayu menerima kaedah dan cara liberal barat yang ekstrim yang tidak mengambilkira sejarah dan acuan tempatan.

Kami memberi amaran keras kepada pihak-pihak ini bahawa rancangan mereka akan ditentang habis-habisan. Bersatu juga tidak akan berdiam diri dan akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu/Islam sepertimana termaktub dalam perlembagaan parti, dan lebih penting lagi, dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adapun sebahagian dari pihak yang dimaksudkan, suka memetik Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan, tetapi tidak pula memetiknya apabila berkenaan dengan hak orang Melayu.

Jelaslah pihak-pihak ini bersikap hipokrit dan hanya memetik Perlembagaan apabila ianya sesuai dengan naratif mereka sahaja.

Ambil kira kepentingan orang Melayu dalam membina Malaysia Baru

Pemuda Bersatu Selangor berpendapat bahawa jika hak dan kepentingan orang Melayu diangkat, kepentingan rakyat Malaysia berbilang kaum secara keseluruhan turut mendapat tempias dan akan dijaga dan diperkasa.

Sejarah membuktikan bahawa orang Melayu itu secara semulajadi merupakan kaum yang berhati mulia, bertoleransi dan kaya dengan budi bahasa. Bagaimanapun, janganlah ada pihak cuba mengambil kesempatan keatas kebaikan dan sikap orang Melayu.

Sehubungan itu, kami yakin agenda orang Melayu akan terus diperkasa dibawah kerajaan PH yang diketuai oleh Dr Mahathir Bin Mohammad.

Pembentukan Melayu yang bangga dan bermaruah

Pemuda Bersatu Selangor juga menyeru agar kepimpinan atasan semua parti komponen lebih sensitif dan cakna isu orang Melayu dalam pembentukan polisi, malah dalam percakapan dikhayalak ramai atau didepan media sekalipun.

Hanya segmen pengundi Melayu sahaja masih belum betul-betul boleh menerima PH. Justeru, logiknya kerajaan wajar memberi penekanan khusus kepada orang Melayu dalam membentuk masa depan Malaysia yang lebih inklusif serta saksama.

Dalam hal tersebut, Pemuda Bersatu Selangor menyokong pandangan Presiden parti, Muhyiddin Bin Yassin, yang mahu ke arah “Ekonomi bersama yang saksama”.

Polisi ekonomi baru ini jelas tidak akan meminggirkan orang Melayu malah mengangkat martabat dan kedudukannya sebagai satu kaum yang bangga dan bermaruah. – 30 Januari, 2019.

* Adhif Syan Abdullah adalah Adun Dengkil dan ketua Pemuda Bersatu Selangor.
.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen