Putrajaya 'terikat kewajipan' kembalikan sebahagian cukai, kata Masing


Desmond Davidson

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing memberikan dua sebab mengapa Putrajaya perlu berbuat demikian. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Januari, 2019 

PUTRAJAYA perlu memulangkan kepada Sarawak dan Sabah sebahagian daripada RM137.035 bilion cukai yang dikutip oleh kerajaan persekutuan pada 2018, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing. 

Masing memberikan dua sebab mengapa Putrajaya perlu berbuat demikian. 

Beliau berkata, sebab pertama dan yang paling utama adalah mengembalikan sebahagian daripada cukai yang dikutip di dua negeri Borneo itu termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. 

Kedua adalah janji Pakatan Harapan yang dibuat dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 untuk mengembalikan 50% cukai yang dikutip di dua wilayah itu. 

“Oleh itu, kerajaan PH terikat dengan tanggungjawab untk memberikan sebahagian daripada RM137.035 cukai yang dikutip pada 2018 kepada Sarawak dan Sabah. 

“Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak boleh terlepas daripada sebab berkenaan dan tidak membayarnya kepada kami,” kata Masing pada satu program yang diadakan di Kuching hari ini. 

Dalam Perjanjian Malaysia 1963, teah dipersetujui bahawa kerajaan persekutuan kembalikan 40% daripada cukai yang dikutip kepada dua negeri berkenaan. 

Bagaimanapun, realitinya selepas 55 tahun, kerajaan persekutuan masih belum mengembalikan walau satu sen pun 40% itu kepada Sarawak dan Sabah. 

Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) semalam turut membuat tuntutan sama dan menyatakan jumlah kepada Sarawak itu lebih daripada cukup untuk menyelesaikan hutang RM2.5 bilion yang didakwa oleh Lim Sarawak berhutang dengan kerajaan persekutuan. – 30 Januari, 2019 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen