SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson berkata kontroversi rancangan AS membina tembok di sempadan selatannya diketepikan dan mengucapkan terima kasih pada Mexico atas tawaran bantuannya kepada mangsa banjir di Texas.
Tillerson mengalu-alukan Menteri Luar Mexico Luis Videgaray untuk berunding mengenai perdagangan dan keselamatan ketika Taufan Harvey membadai kali kedua.
“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan Mexico atas bantuannya terhadap Texas. Mereka menawarkan pelbagai bantuan, dalam koordinasi dengan gabenor Texas dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA).
“Kerajaan Mexico sangat bermurah hati untuk menawarkan bantuan dalam keadaan yang sangat sukar bagi rakyat kami di Texas dan kini taufan mula bergerak menuju sempadan Louisiana juga,” kata Tillerson.
Bagaimanapun, kedua-dua negara tidak memberi maklumat berapa banyak bantuan ditawarkan atau sama ada AS akan menerimanya atau tidak.
Seorang pegawai AS berkata: “Jabatan dalam negeri sedang bekerjasama dengan FEMA dan rakan luar negara termasuk Mexico dalam menentukan cara terbaik untuk menyelesaikan pasca bencana itu.”
Hubungan antara Washington dan Mexico tegang selepas Presiden Donald Trump bertegas jiran AS di bahagian selatan itu perlu membayar semula kos cadangan pembinaan tembok di sempadan.
Pemimpin Mexico berkata mereka tidak akan berbuat demikian, tetapi Videgaray dan rakan menteri yang lain sering ke Washington untuk berbincang mengenai perdagangan dan membanteras jenayah terancang. – AFP, 31 Ogos, 2017.
Komen