PELANTIKAN ahli politik dalam agensi berkaitan pertanian mencetuskan kebimbangan berhubung keselamatan dan sekuriti makanan negara, kata aktivis pertanian Mohd Faisal Idris.
Pengerusi Penaja Badan Bertindak Pertanian Malaysia (BBPN) itu berkata, pemimpin politik dikhuatiri tidak memahami secara mendalam tugas bidang pertanian dan akan menjejaskan sektor berkenaan.
“Dari segi sekuriti makanan, kita bimbang dengan sifat kebertanggungjawaban mereka ini yang tidak faham apa itu sekuriti makanan.
“Apakah pelantikan bersifat politik ini memahami nadi petani? Adakah mereka faham masa depan panjang sekuriti dan keselamatan makanan?
“Apakah reformasi yang dilaungkan ini omong kosong?” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mohd Faisal mengulas lantikan politik dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, minggu lalu selepas tempoh enam bulan penggantungan perlembagaan dan penstrukturan semula agensi itu yang tamat pada 15 Januari.
Salahuddin mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Mengkudu yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Kedah Phahrolrazi Mohd Zawawi sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Nafas yang baharu.
Bagi jawatan AJP lantikan menteri, Salahuddin mengumumkan pelantikan tiga pemimpin Amanah dan seorang dari PKR. Mereka ialah Pengerusi Amanah Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim; penyelaras DUN Apam Putra, Mohd Hisyamuddin Ghazali; Adun Mahkota yang juga Ketua Amanah Simpang Renggam, Muhamad Said Jonit serta Ahli Dewan Negara yang juga Ketua Cabang PKR Shah Alam, Dr Yaakob Sapari.

Mohd Faisal berkata, pelantikan itu dikhuatiri memburukkan lagi keadaan bidang pertanian memandangkan Putrajaya dilihat tidak menitikberatkan soal pengeluaran makanan daripada sumber dalaman negara, yang kebanyakannya diimport.
“Adakah nilai dana yang dimiliki Nafas digunakan sebaiknya untuk satu usaha memastikan pembangunan teknologi atau pertanian itu untuk matlamat akhirnya untuk sekuriti makanan?
“Sekuriti makanan di Malaysia tidak ada langsung. Kita dianggarkan mengimport RM85 bilion makanan setahun. Kalau negara pengeksport itu berlaku bencana alam sebagainya, kita akan bermasalah,” katanya.
Menurut Mohd Faisal, berbanding negara Asia Tenggara (Asean) seperti Thailand dan Vietnam, Malaysia masih ketinggalan dari sektor pertanian.
“Apakah kita ada melakukan pembangunan baka dan benih baru? Tidak. Berbanding dengan negara Asean lain kita ketinggalan. Adakah mereka ini faham perkara itu?” katanya lagi.
Data 2015 menunjukkan Malaysia mengimport RM45.4 bilion sumber makanan, daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan daging sekurang-kurangnya daripada 120 negara, serta mengimport lebih daripada 50 jenis bahan segar dan beku.
Sayur-sayuran seperti bawang merah, bawang putih, brokoli, cendawan, bendi, kacang, keledek, tomato dan cili diimport dari China, India, Thailand, dan Australia.

Afrika, Australia, India, Thailand dan China pula antara negara yang menjadi sumber Malaysia mendapatkan buah-buahan.
Data Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menunjukkan pada 2014, import makanan negara berjumlah RM42.6 bilion, peningkatan mendadak sebanyak RM12.4 bilion berbanding empat tahun sebelumnya.
Pelantikan pimpinan di Nafas bukanlah satu-satunya lantikan politik di Kementerian Pertanian yang jadi perhatian banyak pihak.
Pada 19 Oktober lalu, Salahuddin mengumumkan pelantikan dua pemimpin Amanah ke agensi di bawah Kementerian Pertanian.
Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Peladang) manakala Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Mazlan adalah juga pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Anak Peneroka Felda (Anak)
Mohd Faisal berkata, semua pelantikan ini menimbulkan persoalan tentang integriti serta janji Pakatan Harapan (PH) untuk tidak mengamalkan lantikan politik, sama seperti Barisan Nasional (BN) dulu.

“Isunya bukan isu politik lagi. Nafas tempat berniaga. Ini isu kepatuhan kepada hukum, kerana apabila kamu berjanji di atas pentas tiada lantikan politik dalam GLC, itu bermakna perjanjian yang dipersetujui dengan orang yang mendengar janji.
“Ini juga isu integriti. Apabila perjanjian awam dibuat di pentas tidak dipatuhi, ia mengkhianati kepercayaan awam.
“Benarkah yang dilantik ini sudah dilihat integriti mereka, atau adakah hanya alasan untuk menghalalkan perlakuan?” kata Mohd Faisal lagi.
Mazlan dalam mempertahankan pelantikan itu berkata, kedudukannya di agensi Peladang adalah atas kapasiti Anak yang memperjuangkan peneroka Felda.
“Apa yang penting sejauh mana komitmen kerajaan baru pastikan kerajaan rakyat. Sebab itu saya ditempatkan di Peladang. Lagipun tidak jauh beza antara Peladang dengan Felda.
“Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) ambil saya kerana lihat Felda dan Peladang tidak jauh berbeza,” kata Mazlan.
Faiz pula berkata kepada The Malaysian Insight, pelantikannya sebagai pengerusi LKIM dibuat atas kapasitinya sebagai seorang peguam.
“Secara peribadi saya dulu adalah profesional. Saya adalah peguam. Satu penghargaan orang muda untuk galas tanggungjawab bina semula negara.
“Bersama-sama berpartisipasi untuk galas tanggungjawab memulihkan dan bawa pembaharuan dalam tadbir urus negara,” katanya.
Mohd Faisal turut tidak menolak pelantikan berkenaan bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan politik Salahuddin dalam Amanah.
“Bagi saya, kalau mereka ada maruah, letaklah jawatan itu,” kata Mohd Faisal lagi.– 30 Januari, 2019
Komen