PAKATAN Harapan (PH) memberi jaminan akan meletakkan calon yang sihat dan mesra rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, berdasarkan analisis awal, PH yakin mampu mempertahankan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sembilan bulan lalu, dalam PRK yang dijadual berlangsung 2 Mac depan.
“Dia (calon) mesti sihat, sangat bijak, simpati dengan rakyat dan media, dan kami akan cari calon terbaik.
“Sokongan Melayu kuat di Semenyih. Mungkin akan ada lebih daripada dua parti yang akan bertanding dan undi Melayu akan pecah, dan ia boleh jadi buruk kepada sesetengah pihak.
“Kami yakin berdasarkan penilaian, kita ada peluang untuk menang,” kata Dr Mahathir dalam sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.
Perdana menteri berkata, Kabinet juga sedang meneliti cadangan pemansuhan tol untuk menang PRK DUN Semenyih, namun ia bakal mengundang masalah lain.
“Perkara itu sedang dibincang dalam Kabinet, soal hapus tol akan menimbulkan soalan lain dan kita perlu beri pertimbangan masalah yang akan timbul dengan apa juga tindakan yang diambil terhadap tol di Malaysia,” katanya.
Dr Mahathir mengulas cadangan Ketua Bersatu Negeri Sembilan Rais Yatim supaya PH memansuhkan tol dan menurunkan harga minyak sekiranya mahu menang di Semenyih.
Rais mengemukakan cadangan itu berikutan kekalahan PH pada PRK Parlimen Cameron Highlands hujung minggu lalu.
Selain tol dan harga minyak, Rais juga mahu PH menunaikan janji kepada peneroka Felda sebelum PRU14.
“Mungkir janji orang tak suka, orang tak pilih kita. Pimpinan atasan PH tentu lebih daripada faham kenapa kalah di Cameron Highlands.
“Tutup satu tol kurangkan harga minyak untuk motoris Malaysia. Tunai janji Felda pra-Mei 2018. Buat stok penimbal beras, tepung, minyak masak, susu anak. Semenyih menang,” kata Rais melalui laman Twitter miliknya. – 29 Januari, 2019
Komen