India laksanakan GST, kutip AS$14.5 bilion pada bulan pertama


GST menerima bantahan banyak pihak tetapi hasil kutipan cukai itu di India jauh melebihi jangkaan awal. – Gambar AFP, 30 Ogos, 2017.

INDIA mengutip hampir AS$14.5 bilion hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan pada bulan pertama perlaksanaannya, melebihi jangkaan kerajaan, menurut data rasmi.

Kerajaan berjanji yang cukai itu akan menggantikan berpuluh levi sebelum ini, yang akan mengubah ekonomi India yang dinilaikan pada AS$2 trilion kepada satu pasaran tunggal buat kali pertama.

Pada bulan pertama kutipannya, hasil cukai itu mencecah AS$14.5 bilion, AS$200 juta lebih daripada jangkaan pada Julai lalu.

“Kita melepasi sasaran,” Menteri Kewangan Arun Jaitley dipetik Press Trust of India semalam.

Lebih 60% perniagaan yang berdaftar pada Julai lalu untuk mematuhi cukai baru itu sudah memfailkan pulangan.

Sebelum ini dunia perniagaan gentar dengan pelaksanaan GST itu yang ditetapkan pada empat kadar berbeza antara lima sehingga 28% berbanding satu kadar dalam perancangan awal.

Mereka merungut yang pelaksanaan itu terlalu tergesa-gesa dan perniagaan tidak jelas kategori barangan di bawah cukai baru itu. Ada beberapa industri yang mengadakan mogok.

Kebanyakan ahli ekonomi bersetuju yang pelaksanaan GST- pertama kali dicadangkan pada 2006- sudah terlalu lambat dan memberi amaran akan wujudnya kejutan untuk sektor ekonomi menyesuaikan diri. – AFP, 30 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen