KEDUDUKAN Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018 naik ke tangga 61 meskipun kekal dengan 47 mata.
Transparency International (TI) menyatakan kedudukan Malaysia naik satu tangga dari 62 ke 61 daripada 180 buah negara dunia.
Presiden TI Malaysia Akhbar Satar berkata, berdasarkan keadaan semasa, jika kerajaan baharu serius mahu membuktikan mereka menolak amalan rasuah, jalan untuk itu sedang terbuka.
“Namun, matlamat itu tidak dapat dicapai dengan hanya menyerahkan tugas memerangi rasuah kepada agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata.
“Ahli politik juga mesti memainkan peranan masing-masing,” katanya pada sidang media, hari ini.
Putrajaya hari ini melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional dengan matlamat menghapuskan amalan rasuah yang membarah dalam negara sepanjang pentadbiran Barisan Nasional.
Sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada Mei lalu, beberapa bekas pemimpin dan sekutu mereka sudah diheret ke muka pengadilan, termasuklah Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan Ahmad Zahid Hamidi.
Laporan Pelan Anti Rasuah Nasional hari ini turut mendedahkan budaya rasuah dalam sektor awam paling tinggi, dengan enam daripada 10 laporan diterima SPRM melibatkan penjawat awam.
CPI ditentukan oleh prestasi keseluruhan ditunjukkan sesebuah negara.
Senarai CPI terbaru itu menyaksikan Denmark berada di tempat pertama dengan 88 mata, diikuti New Zealand (87), Finland (85), Sweden (85) dan Norway (84).
Manakala, dalam kalangan negara Asia Tenggara, Singapura mendapat 85 mata sekaligus berada di kedudukan pertama negara rantau ini, diikuti Brunei dan Malaysia.
Indonesia dan Thailand juga menunjukkan peningkatan kedudukan dan mata. Manakala, Vietnam, Myanmar dan Kemboja pula merosot kedudukan berbanding tahun sebelumnya. – 29 Januari, 2019.
Komen