PERDANA Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha mempertahankan Malaysia yang mengungguli kutipan pingat emas terbanyak dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), mengatakan ” ia adalah normal” bagi negara tuan rumah berdasarkan persiapan yang lebih baik untuk menghadapi kejohanan sukan terbesar Asia Tenggara itu.
Walaupun memuji aksi atlet Gajah Putih dalam temasya dwitahunan itu, beliau berkata “beberapa persatuan sukan” di negara berkenaan masih dibelenggu masalah dan mahu ia diperbaiki sebaik pulang ke Thailand.
“Adalah sesuatu yang normal bagi negara tuan rumah akan mendapat lebih banyak (pingat emas) berdasarkan persediaan yang dilakukan.
“Sama seperti kami, apabila menjadi tuan rumah, kami juga boleh menguruskan jenis sukan dan kali ini mereka (Malaysia) mempunyai persiapan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan di Bangkok hari ini.
Walaupun menduduki tempat kedua di belakang Malaysia dalam kutipan pingat keseluruhan, Prayut menegaskan yang beliau masih berpuas hati dengan prestasi cemerlang atlet Thailand pada temasya itu.
“Kami gembira kerana menduduki tempat kedua walaupun saya mahu mereka terus mengungguli carta teratas pungutan pingat,” katanya.
Komen Prayut itu dibuat susulan kritikan yang dilemparkan oleh media dan peminat Gajah Putih itu terhadap aspek penganjuran KL2017 oleh Malaysia.
Selain mengkritik negara tuan rumah mengenai perkara-perkara remeh semasa penganjuran Sukan Sea seperti kekurangan makanan dan pengangkutan atlet, mereka juga menuduh Malaysia tidak mempunyai semangat kesukanan dalam misi tuan rumah untuk mengungguli pungutan pingat dan bergelar juara keseluruhan.
Akhbar berbahasa Inggeris, Bangkok Post dalam artikel bertajuk “An ugly tradition continues in Malaysia” hari ini berkata emosi semakin tinggi dalam kalangan peminat dan wartawan Thailand yang meluahkan kemarahan mereka dengan melabelkan Sukan Sea Kuala Lumpur sebagai “Sea Kong” atau (Sea Tipu) .
Walaupun Bangkok Post melemparkan kritikan pedas, sebuah lagi akhbar berbahasa Inggeris, The Nation lebih bersifat introspektif dalam menilai prestasi Thailand pada KL2017, memilih untuk menyalahkan prestasi hambar atlet negara itu berbanding atlet Malaysia.
Dalam teguran keras terhadap pihak berkuasa sukan negara itu, The Nation dalam lidah pengarangnya berkata Thailand gagal terutama dalam sukan antarabangsa pada temasya dwitahunan di Kuala Lumpur itu.
“Pada temasya Kuala Lumpur 2017, Thailand telah gagal terutamanya dalam ‘sukan antarabangsa’. Pendek kata sekiranya acara sukan serantau (tradisional) dikeluarkan daripada carta pingat, negara masih ketinggalan di belakang Malaysia, Singapura dan Vietnam,” katanya.
Penyenaraian sukan tradisional dalam Sukan SEA, katanya, dijadikan alasan oleh negara itu jika ia kalah kepada Malaysia tetapi ia tidak boleh bergantung kepada alasan dan hujahan itu lagi kali ini. – Bernama, 30 Ogos, 2017.
Komen