Thaksin bersuara selepas Yingluck larikan diri dari Thailand


Yingluck Shinawatra melarikan diri dari Thailand bagi mengelak kes perbicaraan korupsinya.– Gambar EPA, 30 Ogos, 2017.

BEKAS perdana menteri dalam buangan, Thaksin Shinawatra akhirnya bersuara menerusi satu catatan Twitter beberapa hari selepas adik perempuannya, Yingluck melarikan diri ke negara yang tidak didedahkan.

Yingluck, 50, bekas perdana menteri wanita pertama Thailand, melarikan diri dari Thailand selepas gagal menghadiri prosiding mahkamah pada Jumaat lepas untuk mendengar keputusan berhubung satu kes yang boleh menyebabkan dia dipenjarakan sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam catatan Twitter itu, dengan memetik kata-kata seorang ahli politik Perancis, Thaksin berkata: “Montesquieu pernah berkata ‘Tiada kezaliman paling kejam yang kekal dilindungi oleh undang-undang dan atas nama keadilan. ”       

Yingluck menjadi perdana menteri Thailand pada Ogos 2011 sebelum digulingkan dalam perebutan kuasa pada Mei 2014, beberapa hari sebelum pihak tentera melakukan rampasan kuasa.

Dia dituduh melakukan kecuaian dalam skim subsidi padi semasa menjadi perdana menteri.     

Thaksin juga melarikan diri dari Thailand pada 2008 kerana mahu mengelak perbicaraan rasuah.

Sementara itu, Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha yang ditemui juga ditanya tentang catatan Twitter Thaksin.

“Biarlah dia buat. Apa yang (saya) boleh buat, terpulanglah kepada anda jika mahu mempercayainya. Fikirlah sendiri,” katanya sambil menunjuk kepalanya.

Sebelum ini, Panglima Tentera Darat Thailand Jeneral Chalermchai Sittisart menuduh Thanksin merancang tindakan Yingluck melarikan diri dari negara itu.

Polis Thailand juga telah membuka siasatan berhubung kejadian itu termasuk mendapatkan bantuan dan maklumat daripada beberapa negara seperti Kemboja, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu.

Yingluck dipercayai berada di Dubai, di mana Thaksin dilaporkan memiliki sebuah rumah. – Bernama, 30 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen