PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berjumlah 4% bagi 2018.
Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM114.55 juta di samping kadar 0.5% inisiatif dikenali sebagai ganjaran kesetiaan untuk pendeposit SSPN-i.
“Pemberian dividen ini melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM114.55 juta dan memberi manfaat kepada lebih 3.91 juta pendeposit SSPN,” katanya, ketika sidang media di Menara PTPTN di ibu negara, hari ini.
Katanya, kadar dividen itu adalah berdasarkan pulangan bersih pelaburan dibuat atas deposit yang diterima oleh PTPTN.
Badan berkenaan kata Wan Saiful masih dapat mengekalkan kadar dividen SSPN yang kompetetif walaupun suasana ekonomi yang mencabar dan dengan pelbagai tekanan yang diterima.
Beliau berkata, pada 2018, PTPTN berjaya mencapai kutipan deposit SSPN berjumlah RM1.13 bilion dengan 678,829 akaun baru dibuka.
“Kedua-dua pencapaian ini menunjukkan berlakunya peningkatan ketara berbanding 2017 iaitu peningkatan sebanyak RM404.48 juta atau 55.61% untuk deposit, dan sebanyak 231,790 atau 51.85% untuk akaun baru,” katanya.
Wan Saiful berkata, secara keseluruhan sehingga 31 Disember 2018, SSPN merekodkan 3.91 juta akaun dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM4.50 bilion.
“Pencapaian kutipan sebanyak RM1.13 bilion bagi 2018 amatlah signifikan dan merupakan satu kejayaan besar dalam usaha PTPTN menggalakkan penabungan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Berbanding jumlah keseluruhan sebanyak RM4.50 bilion yang dicapai setelah 14 tahun SSPN diperkenalkan, sebanyak 25% adalah tabungan bagi 2018 sahaja,” katanya lagi. – 29 Januari, 2019.
Komen