3 golongan dilarang masuk grup Whatsapp sekolah


Hadri Shah

BAGAIMANA guru pada zaman 80-an, 90-an, dan awal milenium berkomunikasi dengan ibu bapa pelajar?

Seingat saya, kalau ada apa-apa berita atau pengumuman daripada pihak sekolah, guru akan menulis surat kepada ibu bapa.

Jika memerlukan pertanyaan lanjut, ibu bapa datang ke sekolah bertemu guru. Paling tidak, ibu bapa pelajar mencari penjelasan melalui panggilan telefon.

Sekarang, komunikasi antara guru dan ibu bapa menjadi lebih mudah dan pantas. Terima kasih kepada aplikasi “Whatsapp” kerana banyak “memanjakan” berjuta golongan ibu bapa.

Kebiasaannya hari ini, seorang guru akan mencipta satu kumpulan di aplikasi Whatsapp dan menjemput semua ibu bapa menyertainya.

Tiada tujuan lain menubuhkannya melainkan memudahkan urusan komunikasi antara mereka.

Daripada urusan jadual waktu anak-anak, aktiviti gotong-royong kelas, sehinggakan hal-hal berkaitan sumbangan wang dan mesyuarat PIBG, urusan menghantar dan menerima maklumat sepatutnya bukan lagi masalah yang menyebalkan.

Tetapi, adakah kewujudan kumpulan Whatsapp untuk guru dan ibu bapa betul-betul menyenangkan?

Pada 23 Januari lalu, Sinar Harian menyiarkan sebuah artikel bertajuk “Kumpulan Whatsapp memudah atau membebankan cikgu?”

Artikel berkenaan menerangkan masalah yang dihadapi guru setelah mewujudkan kumpulan Whatsapp.

Antara masalah yang paling ketara ialah persoalan remeh yang ditimbulkan ibu bapa. Biarpun sudah diberitahu lebih awal, ibu bapa masih bertanyakan soalan yang sama dari pagi hingga ke malam.

Saya turut memerhati situasi ini. Sejak anak tunggal saya memasuki alam persekolahan awal tahun ini, saya sudah berjaya membau perangai-perangai ibu bapa dalam kumpulan Whatsapp yang turut saya sertai.

Ada tiga perangai paling ketara yang saya jumpa.

Golongan pertama: ibu bapa yang sering bertanya macam-macam walaupun pertanyaan mereka sudah berkali-kali dijelaskan guru.

Saya beri sedikit contoh. Pada hari pertama persekolahan, guru sudah memaklumkan secara lisan dan juga bertulis (di kumpulan Whatsapp, tentunya) mengenai aktiviti anak darjah satu. Tiada sesi pembelajaran melainkan program induksi sehingga minggu ketiga.

Lucunya, pada minggu kedua persekolahan, sudah ramai ibu bapa bertanyakan jadual waktu sekolah dan buku apa yang perlu anak mereka bawa keesokan hari?

Mengapa daya pemahaman mereka begitu tragis?

Golongan kedua: mereka yang gagal “common sense” dan, tidak memiliki perangai ‘bergantung pada diri sendiri’.

Misalnya, anak mereka bersekolah di Selangor, negeri yang setiap tahun bercuti sempena Thaipusam.

Namun, kerana tahap “common sense” mereka begitu menyedihkan, mereka menghantar mesej di Whatsapp bertanya: “Cikgu, 21 haribulan (Thaipusam), sekolah cuti tak?”

Kalau kamu seorang cikgu, adakah kamu akan menangis dulu sebelum menjawab soalan ibu bapa ini?

Golongan ketiga paling merimaskan? – kaki komplen.

Memang kamu berhak menulis apa sahaja di Whatsapp, sama ada mahu mengkritik, memberi teguran dan pandangan. Tetapi kamu juga perlu sedar bahawasanya kamu orang dewasa. Sebagai orang dewasa, kamu sepatutnya sudah jelas kepada siapa dan bagaimana untuk menyalurkan teguran dan ketidakpuashatian kamu.

Hal remeh seperti koperasi sekolah kehabisan stok buku dan masalah yang tidak relevan dengan objektif penubuhan kumpulan Whatsapp, tidak perlulah dikongsi di kumpulan. Bunyinya sangat teruk apabila kamu berleter hal tak sepatutnya di situ.

Ibu bapa mesti sedar ini bukanlah zaman segalanya terbeban di atas pundak seorang guru.

Kita sedia maklum hala tuju pendidikan kebangsaan masih berbekas kecelaruan. Terlalu banyak perkara yang mesti dilunaskan. Para guru terkejar-kejar dengan tugasan mereka di dalam dan di luar kelas. Disebabkan itu, janganlah membebankan mereka dengan kerenah yang tidak matang.

Ini zaman guru dan ibu bapa memerlukan satu sama lain. Setiap guru memerlukan sokongan, idea bernas dan penglibatan langsung ibu bapa untuk menumbuhkan potensi anak-anak.

Kumpulan Whatsapp sepatutnya berfungsi sesuai dengan fitrah kewujudannya – memberi dan menerima mesej selain digunakan sebagai instrumen bertukar-tukar idea.

Tidak salah untuk bertanya tetapi biarlah ibu bapa menjadi pembaca mesej yang baik terlebih dulu. Sekiranya ada pendapat dan teguran kepada pihak sekolah (yang tidak berkaitan dengan perjalanan kumpulan Whatsapp), mereka boleh mengalirkan kepada saluran yang tepat.

Teknologi adalah nugerah teragung dicipta buat umat manusia.

Tinggal lagi sama ada teknologi komunikasi seperti Whatsapp digunakan dengan baik, rasional dan matang – tidak perlu lagi kita mengeluh tentang si dungu yang menyusahkan lagi merimaskan. – 29 Januari, 2019.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen