BEBERAPA bekas pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika agensi anti rasuah terus membongkar skandal di badan berkanun itu susulan petunjuk baru sepanjang siasatan sejak tiga minggu lalu, kata sumber.
Sejak serbuan pertama SPRM ke atas SSM pada 9 Januari, beberapa nama baru muncul dalam senarai siasatan termasuk pegawai tertinggi yang sudah menamatkan perkhidmatan dengan suruhanjaya itu, kata sumber.
“Ada banyak isu berbangkit yang timbul selepas siasatan dimulakan. Kami memerlukan masa untuk melengkapkan semua siasatan sebelum tindakan diambil secara serentak ke atas semua yang terbabit,” kata sumber yang maklum tentang perkembangan siasatan kepada The Malaysian Insight.
“Tidak kira yang sudah pencen atau masih berkhidmat, sekiranya terbabit dalam unsur penyelewengan dan rasuah, pasti kami siasat,” tambahnya.
Sejak tiga minggu lalu, SPRM berusaha membongkar salah guna kuasa berhubung penganugerahan kontrak projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia kepada Formis Network Services Sdn. Bhd. (Formis) tanpa melalui proses tender terbuka.
Projek berkenaan dikatakan diberi melalui kontrak secara rundingan terus bagi tempoh lima tahun, dan lanjutan mandatori untuk lima tahun apabila tamat, yang akan menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan.
Hasil siasatan dan serbuan berterusan SPRM sejak 9 Januari lalu, agensi anti rasuah itu difahamkan menemui beberapa bahan bukti baru yang membolehkannya menyiasat SSM atas beberapa kes lain.
Bahan bukti itu diperolehi daripada 90 kotak dokumen yang dirampas hasil serbuan SPRM ke atas 10 premis yang dikaitkan dengan projek SSM, kata sumber.
The Malaysian Insight difahamkan SPRM turut menyiasat pemberian beberapa projek lain SSM yang juga tanpa melalui tender terbuka sejak 2009.
SPRM juga menyiasat perolehan dan pembelian beberapa bangunan pejabat SSM di serata negara antaranya di Melaka, Sarawak dan Perak yang keseluruhannya bernilai lebih RM94 juta.
Sumber SSM pula memberitahu penyelewengan yang sedang disiasat agensi anti rasuah itu melibatkan beberapa pegawai pengurusan tertingginya, yang lantikan mereka sebelum ini dikaitkan dengan kronisme dan nepotisme, dan bukannya kerana prestasi kerja.
Sejak 9 Januari lalu, SPRM menyerbu ibu pejabat SSM di Kuala Lumpur dan kemudian ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya bagi membongkar skandal kontrak sebuah projek bernilai RM500 juta yang diberikan secara terus kepada sebuah syarikat.
Syarikat itu milik anak pegawai kanan SSM, kata sumber SPRM. Beliau dipercayai terlibat dalam penyelewengan kontrak suruhanjaya itu sejak ahli keluarganya dilantik memegang jawatan tinggi di SSM beberapa tahun lalu.
Selain SSM dan SKMM, premis lain yang diserbu ialah empat buat syarikat termasuk firma perakaunan di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dan firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis.
SPRM juga menyerbu sebuah gudang di Semenyih dan rumah anak pegawai kanan SSM di Bandar Tasik Selatan, di Sungai Besi, Selangor.
Minggu lalu, SPRM memanggil lelaki dalam lingkungan umur 20-an itu untuk diambil keterangan di ibu pejabatnya di Putrajaya.
The Malaysian Insight juga difahamkan SPRM sedang menyiasat seorang lagi anak pegawai kanan SSM yang lain, berhubung kes yang sama.
Serbuan SPRM ke atas SSM dibuat sehari selepas sebuah pertubuhan masyarakat menghantar memorandum kepada agensi anti rasuah itu menggesa siasatan ke atas SSM, yang menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.
Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin di Dewan Rakyat pada 12 November lalu, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM.
Bung Mokhtar ketika itu mendakwa SSM memberikan projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia secara langsung kepada Formis tanpa melalui tender terbuka.
Beliau mendakwa kontrak secara rundingan terus bagi tempoh lima tahun, dan lanjutan mandatori untuk lima tahun apabila tamat, akan menyebabkan kerajaan rugi lebih RM250 juta. – 29 Januari, 2019.
Komen