Tunggu pengumuman rasmi status ECRL, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Dr Mahathir Mohamad berkata, segala maklumat yang tersebar di laman media sosial berkenaan surat pembatalan projek mega itu adalah tidak tepat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Januari, 2019.

TEKA-TEKI masa depan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya akan diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kata perdana menteri.

Dr Mahathir Mohamad berkata, segala maklumat yang tersebar di laman media sosial berkenaan surat pembatalan projek mega itu adalah tidak tepat.

“Sah kah (surat pembatalan itu?) Sekarang ni semua orang boleh ambil kepala surat kerajaan, potong dan buat kepala surat (palsu). Itu tidak rasmi,” katanya kepada pemberita, ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran surat yang didakwa dikeluarkan Kementerian Kewangan berhubung makluman pembatalan projek berkenaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Rail Link Sdn Bhd Darwis Abdul Razak.

Bekas perdana menteri Najib Razak turut memuat naik pautan laman Facebook tertera surat itu.

“Tak payah menteri-menteri PH termasuk Menteri Kewayangan berpusing-pusing. Sekejap kata dah batal, sekejap kata belum batal. Sekejap kata tak pasti sudah batal atau tidak.

“Yang tandatangan surat pembatalan bertarikh 10 hari dahulu ini siapa? Kalau ECRL telah dibatalkan secara rasmi dan surat pembatalan sudah keluar, mengaku saja lah, ataupun yang dimaksudkan telah dibatal ialah projek ECRL Hong Kong?” kata Najib menerusi catatan di Facebooknya.

Dr Mahathir turut mengakui berlaku kesilapan dalam perbezaan pengumuman berkaitan ECRL yang dibuat Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Guan Eng.

“Ada orang buat silap kadang-kadang, ini kerajaan baru, kesilapan kami belum banyak, tapi orang tengok banyak sebab ini kerajaan baru,” kata Dr Mahathir. – 28 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen