Putrajaya tak kisah sukan paralimpik batal, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini meluahkan kehairanan mengapa dunia perlu tunduk kepada Israel. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Januari, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak ambil peduli keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang membatalkan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan berlangsung Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

“Dia (IPC) nak batal, batallah. Saya dapati dunia terpaksa ikut Israel, saya tak fahamlah pasal dunia ada kuasa. Kita tak ikut, (kalau) kita tak boleh anjur Sukan Olimpik, kita anjur sukan lain,” katanya.

Katanya lagi, keutamaan kerajaan pimpinannya adalah melarang warga Israel masuk ke Malaysia kerana negara itu adalah penjenayah antarabangsa.

“Kita tetap dengan prinsip kita. Prinsip kita, Israel penjenayah, mereka langgar undang-undang antarabangsa tanpa orang lain kata apa-apa. Hak kita adalah untuk suarakan polisi kita. 

“Amerika Syarikat juga tak benarkan rakyat dari lima negara Islam pergi ke negara mereka, kenapa orang tak merungut? Banyak negara Eropah tidak bagi orang luar datang ke negara mereka.

“Kita ada sebab, mereka (atlet Israel) bukan pelarian, bukan orang susah, mereka datang dari negara yang langgar peraturan antarabangsa,” katanya, kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir ditemui selepas pertemuan bersama program eksekutif pengurusan tertinggi badan berkanun Persekutuan di Perbadana Putrajaya, petang tadi.

Dr Mahathir berkata, ketika pentadbirannya pada 1997, beliau membenarkan kanak-kanak sekolah Israel memasuki Malaysia untuk mereka melihat umat Islam bukanlah penjenayah.

“Ya, saya benarkan kanak-kanak sekolah Israel datang (ke Malaysia pada 1997), kita nak tunjukkan (kepada mereka) orang Islam bukan pengganas dan kita tidak buat salah kepada mereka.

“Tapi mereka (di Israel) kanak-kanak baling batu kepada mereka, tetapi mereka tembak (kanak-kanak),” kata Dr Mahathir lagi.

IPC dilaporkan membuat keputusan itu pada mesyuarat di London selepas Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberikan jaminan diperlukan untuk perenang Israel bebas daripada diskriminasi dan selamat dalam kejohanan tersebut.

Presiden IPC Andrew Parsons dilapor berkata, semua Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dilaporkan menerima keputusan itu, dan berkata, kejohanan tersebut dianjurkan di peringkat antarabangsa sementara Malaysia hanya dipilih sebagai tuan rumah.

“Malaysia mempunyai pendirian tentang penglibatan Israel. Sarawak hanya venue sahaja. Jadi, kita akur dengan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengulangi pendirian Malaysia untuk tetap tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan di Kuching itu.

Kerajaan katanya, tetap dengan keputusan berkenaan atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan dengan nasib rakyat Palestin. – 28 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen