Tak mengejutkan BN menang di Cameron Highlands, kata PM


Mohd Farhan Darwis

Keputusan PRK Cameron Highlands juga membuktikan ia berlangsung telus tanpa sebarang penipuan, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Januari, 2019.

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands sudah dijangka memandangkan pembangkang masih kuat di luar bandar, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, keputusan PRK itu juga membuktikan ia berlangsung telus tanpa sebarang penipuan.

“Kami adakan PRK yang telus tanpa ‘hanky panky’ dan keputusannya mengikut kehendak pengundi.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Umno dapat kemenangan yang tinggi tapi tidak boleh menjadi kerajaan, maknanya ia (kemenangan mereka) tidak mengejutkan, ini kawasan luar bandar dan merupakan kekuatan mereka, di samping mereka memainkan isu perkauman, ini keputusan rakyat dan kita terima,” kata Dr Mahathir, ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemuan bersama eksekutif pengurusan tertinggi badan berkanun Persekutuan di Perbadanan Putrajaya, petang tadi.

Pengerusi Bersatu itu menambah yang antara isu dikenal pasti menjadi punca kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK itu adalah peningkatan kos sara hidup.

“Kami mesti tahu apa yang menghimpit mereka, kami tahu antaranya kos kehidupan yang meningkat. Bagi orang kaya tiada apa-apa, tapi bagi orang miskin ia masalah besar. 

“Mereka orang susah, hidup di luar bandar, kami perlu cari cara untuk kurangkan kos dan juga bantu mereka dapatkan pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengatakan terdapat masyarakat Orang Asli yang merasakan Dr Mahathir adalah pemimpin BN.

“Ada juga masing-masing ingat saya masih BN, tapi tak apalah, akhirnya mereka akan tahu juga,” kata Dr Mahathir lagi.

BN mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Cameron Highland apabila calonnya, Ramli Mohd Nor menewaskan tiga lagi calon lain termasuk calon PH, M Manogaran.

Ramli mencatat sejarah menjadi Orang Asli pertama menjadi ahli Parlimen.

Pesara polis itu memperoleh 12,038 undi, menewaskan Manogaran yang memperoleh 8,800 undi, membolehkannya menang dengan majoriti 3,238 undi.

Calon Bebas, bekas pensyarah Sallehudin Ab Talib dan petani, Wong Seng Yee, masing-masing memperoleh 314 dan 276 undi. – 28 Januari, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen