MENTERI Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Fatimah Abdullah meluahkan kecewanya dengan tindakan Putrajaya sehingga menyebabkan hak milik penganjuran Kejohanan Sukan Paralimpik Dunia 2019 ditarik balik.
Ditemani Pembantu Menteri Kesejahteraan Komuniti Hollis Tini dan Pembantu Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Fatimah meluahkan kesedihan dan kecewanya pada satu sidang media di pejabatnya di Kuching, Sarawak hari ini.
“Kami rasa sangat sedih. Sangat, sangat sedih,” katanya mengulas perkembangan terbaru apabila Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) semalam menarik hak milik penganjuran kejohanan itu dari Malaysia.
Kuching sepatutnya jadi tuan rumah kejohanan yang dijadualkan bermula pada 29 Julai hingga 4 Ogos depan itu.
“Kami memang tak sabar nak menganjurkannya.”
Fatimah berkata beliau dan pasukannya berusaha keras bagi memastikan penganjuran itu berjalan lancar. Beliau bagaimanapun enggan mengulas politik belakang tabir dasar luar Malaysia sehingga hak penganjuran ditarik balik.
Lembaga Pentadbiran IPC pada mesyuarat di London menarik balik hak penganjuran yang diberikan kepada Malaysia selepas Kementerian Dalam Negeri gagal memberikan maklumat diperlukan bagi menjamin atlet Israel boleh turut serta dalam kejohanan tersebut tanpa diskriminasi dan keselamatan mereka terjamin.
Jaminan tersebut termasuklah pematuhan penuh ke atas semua protokol IPC berkaitan lagu dan bendera negara dan visa berkaitan.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak akan membenarkan perenang paralimpik Israel masuk ke negara ini untuk menyertai kejohanan itu, tindakan yang membatalkan jaminan Majlis Paralimpik Malaysia (NPC Malaysia) yang memberikan jaminan kebenaran masuk kepada atlet negara itu pada September 2017.
Malaysia bertegas mempertahankan keputusan itu, malah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keutamaan negara adalah hak asasi manusia dalam konflik Israel-Palestin.
Pendirian Putrajaya terhadap isu tersebut kini dipersoalkan Ketua Menteri Sarawak James Masing.
Masing berkata beliau faham mengapa Dr Mahathir tidak menerima Israel kerana layanan kejam mereka terhadap warga Palestin, tetapi sekiranya alasan itu hendak digunakan ia perlulah digunakan kepada semua negara yang didakwa mencabul hak asasi manusia yang lain seperti Myanmar.
“Hujah yang Malaysia, selaku kerajaan Islam perlu berpihak kepada Palestin adalah OK, tetapi setakat itu sahajalah (tidak libatkan negara lain).”
Manakala, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru dalam kenyataannya berkata tindakan Putrajaya itu akan memberi kesan kepada Sarawak yang pelbagai kaum, budaya dan agama.
“Dasar ini memberi gambaran buruk kepada pendirian sekular Sarawak,” kata Ketua Publisitinya Bobby William.
“PBDSB merasakan memalukan yang selaku penduduk Sarawak, kita tidak bertindak memihak kepada (pendirian) negara sekular yang tulen.” – 28 Januari, 2019.
Komen