PAKATAN Harapan menerima akibat pada pilihan raya kecil Cameron Highlands kerana tidak menghormati dan memberi alasan mereka tidak dapat menunaikan janji, kata pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Jemut Masing, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah dan ketua Wanita PBB Fatimah Abdullah berkata, terdapat pengajaran untuk GPS daripada pilihan raya kecil Cameron Highlands yang boleh diambil iktibar untuk hadapi pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada 2021.
Tiga pemimpin kanan daripada GPS itu berkata, calon PH M. Manogaran dikalahkan calon Barisan Nasional Ramli Mohd Nor pada pilihan raya Sabtu lalu kerana Pakatan gagal menunaikan janji mereka yang dibuat pada pilihan raya umum tahun lalu.
Masing berkata, PH gagal menyedari bahawa “janji tetap janji” walaupun Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berkata manifesto pilihan raya bukan kitab suci.
Tambahnya, pilihan raya berkenaan memberi beberapa pengajaran kepada semua parti politik agar lebih serius dan menghormati janji yang dibuat atau menerima akibatnya.
“Kamu tidak boleh menipu hanya untuk mendaatkan undi rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.
Karim, yang juga menteri pelancongan, kesenian, kebudayaan, belia dan sukan negeri berkata, janji PH menyatakan mereka akan tunaikan dalam 100 hari selepas mengambil alih pentadbiran hanya “janji kosong”.
“PH menjanjikan banyak perubahan sekiranya mereka memenangi kerajaan..dalam manifesto mereka dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan.
“Ia sudah menjadi janji kosong dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh BN dalam pilihan raya kecil itu.”
Karim berkata, terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil GPS daripada pilihan raya kecil itu.
Salah satu daripadanya adalah pemilihan calon, katanya.
“Pilihan raya kecil ini merupakan petanda baik untuk pilihan raya akan datang sama ada di Sarawak, Sabah mahupun Semenanjung Malaysia.
“Pemilihan calon sangat penting. Seseorang itu tidak boleh mendapatkan kerusi hanya kerana ia adalah kuota parti dan meletakkan calon atas pilihan pemimpin parti.”
BN katanya, mengambil peluang dengan meletakkan calon Orang Asli kerana ia merupakan kawasan majoriti masyarakt itu.
Calon BN, Ramli Mohd Nor merupakan bekas pegawai kanan polis. Sementara PH mempertaruhkan semula calon yang tewa pada PRU14, M. Manogaran dari DAP.
Manogaran hanya tewas dengan 539 undi pada PRU14, beliau jauh ketinggalan pada pilihan raya kecil itu apabila Ramli mendapat 3,238 undi.
Manakala dua calon bebas yang turut bertanding hilang wang deposit.
Karim berkata, PH “masih dalam mod lama” apabila meletakkan calon daripada etnik India.
“Dan mereka menerima akibatnya. Satu petanda baik untuk GPS berdepan pilihan raya negeri akan datang,” katanya.
Sementara itu, Fatimah yang merupakan menteri kebajikan, kesejahteraan masyarakat, wanita, keluarga dan pembangunan kanak-kanak serta ketua Wanita GPS berkata, kekalahn PH itu memberi GPS “semangat untuk lebih bekerja keras”.
“Ia memberikan semangat kepada kami untuk bekerja keras dan memberi keutamaan kepada Sarawak. Diharapkan ini dapat dirasai oleh rakyat.” – 28 Januari, 2019
Komen