TIDAK cukup dengan tekanan akibat kenaikan kos, peniaga di Semenyih berkata mereka terpaksa bersaing pula dengan ramai pendatang asing yang membuka perniagaan haram.
Isu berkenaan meniti di bibir para peniaga di kawasan Dun ini, yang bakal menjadi medan pilihan raya kecil berikut kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor pada awal bulan ini.
Thinesh, seorang peniaga minuman keras berkata, pesaing utamanya adalah pendatang asing yang membuka kedai makan secara haram di tingkat atas bangunan rumah kedai di di Jalan Pasar Baru.
Thinesh, 28, berkata beliau hanya akan mendapat untung sebanyak RM20 untuk setiap karton minuman keras tetapi pengusaha kedai haram itu mendapat untung RM80 untuk kuantiti sama.
“Mereka tak bayar cukai, tak bayar kos operasi tinggi, tapi boleh jual lebih mahal. Kedai saya kos satu tin RM3, saya jual RM4, tapi mereka boleh jual RM8.
“Memang (jualan di kedai pendatang asing) lebih mahal tapi pelanggan masih beli, sebab boleh berhutang, kedai kita tak bolehlah hutang,” katanya ketika ditemui di pekan Semenyih.
Pemegang ijazah kejuruteraan mekanikal itu berkata beliau meneruskan perniagaan keluarga dan tidak bekerja sebagai jurutera kerana gaji ditawarkan rendah, sekitar RM1,800 sebulan.
“Dengan berniaga, saya boleh jana pendapatan kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 sebulan. Saya kerja 17 jam sehari tanpa cuti dan kini terpaksa bersaing dengan pendatang asing,” katanya.

Menurutnya, peniaga dari kalangan pendatang asing daripada Bangladesh dan Nepal itu pula mampu menjana pendapatan sehingga RM40,000 sebulan.
Kini terdapat kira-kira 10 kedai makanan yang diusahakan pendatang asing secara haram, termasuklah di unit bersebelahan kedainya, kata Thinesh.
Kos tinggi ditanggung peniaga tempatan juga berpunca daripada harga lesen perniagaan yang dianggap antara paling mahal di Selangor, menurut peniaga di pekan ini.
Bagi satu petak gerai, peniaga perlu membayar lesen kira-kira RM90 sehari, tidak termasuk pembayaran kepada petugas Rela dan penganjur tapak perniagaan.
Seorang penjaja, Anuar Hussain Mohd Din, 48, berkata, beliau perlu membayar kira-kira RM2,000 setahun bagi menggunakan dua petak penjaja di tujuh tapak kawasan pasar malam.
“Kita harap MPKJ dapat pertimbangkan. Kita tak kisah dengan penganjur, tetapi kalau boleh kurangkanlah.
Penganjur yang dimaksudkan Anuar adalah orang tengah antara peniaga dan PBT yang menguruskan operasi pasar.
“PBT kata mereka perlukan penganjur sebab mereka tak cukup kakitangan.
“Saya berniaga di Subang, setahun bayar RM108 setahun, di KL, cuma RM102 setahun. Di sini, paling mahal saya tanggung,” kata peniaga roti itu.
Sejak memulakan perniagaan di pasar malam sejak 12 tahun lalu, Anuar, yang juga ketua peniaga pasar itu berkata, harga jualan juga tidak boleh dinaikkan tinggi untuk mengelak risiko kehilangan pelanggan.
“Roti sosej saya jual dulu, kira-kira 12 tahun lepas RM1, sekarang saya jual RM1.50 sahaja. Kita berniaga pasar malam kalau harga mahal orang tak beli, mereka akan beli di kedai roti,” kata bapa kepada dua anak itu.
Menurutnya, dengan kenaikan kos barangan, hasil jualannya hanya cukup-cukup makan dan setiap bulan terpaksa menangguhkan bayaran bil utiliti.
“Ikut perjanjian, kereta saya habis bayar bulan September lalu, tapi sampai sekarang saya masih tak mampu bayar. Setiap bulan ada sahaja bil yang tertunggak tidak mampu bayar,” katanya, yang menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,500 sebulan.

Malah, menjelang bulan Ramadan, kebiasannya Anuar berkata dia akan berniaga di tapak bazar Ramadan dengan dikenakan bayaran RM600 untuk tempoh sebulan, yang juga antara petak termahal dalam PBT Selangor.
“Saya sampai gadaikan barang kemas isteri untuk bayar duit petak dan kos barang berniaga di bazar Ramadan,” katanya.
Anuar sehubungan itu mengharapkan program yang sudah dirancang Allahyarham Baktiar dapat diteruskan penggantinya.
“Saya dengan beliau sudah rancang macam-macam dulu. Kami bercadang nak buka pasar moden untuk bangunkan peniaga-peniaga Melayu, ada program untuk orang muda sertai perniagaan.
“Tapi sampai sini sahaja rezeki beliau, kita harap penggantinya nanti dapat teruskan kerana ia rancangan yang baik,” katanya, yang mengakui mengenali rapat Bakhtiar.
Rakannya, Shaharudin Osman, 52, berkata, setakat lapan bulan, Bakhtiar banyak turun padang dan menyelesaikan isu rakyat, seperti mana dilakukan Johan Abdul Aziz, Adun BN sebelum Bakhtiar.
Pada pandangannya, tidak kira BN atau PH, wakil rakyat yang dipilih mereka di kawasan itu mempamerkan prestasi terbaik sepanjang tugas mereka.
“Kedua-dua mereka bagus, kita tidak melihat perubahan bendera, tetapi wakil rakyat di sini prestasi mereka sama. Johan pun sangat membantu pengundi Semenyih, begitu juga Bakhtiar.
“Bakhtiar pun dulu bekerja untuk Johan, jadi corak pentadbirannya mirip Johan. Tidak ada isu di situ,” kata pekerja penghantaran itu.
Allahyarham Bakhtiar menang PRU14 dengan menewaskan Johan dan juga dua calon lain, Mad Shahmiour Mad Kosim yang mewakili PAS, dan S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Bakhtiar memperoleh majoriti 8,964 undi selepas meraih 23,428 undi.
PRK Dun Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU14, iaitu PRK Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, yang kesemuanya dimenangi PH.
Bagi PRK kali ini, PAS memutuskan untuk tidak meletakkan calon dan memberikan laluan kepada Umno untuk meletakkan calon mereka. – 28 Januari, 2019.
Komen