Bukan perkauman menangkan BN di Cameron Highlands, kata Najib


Mohd Farhan Darwis

Umno tidak berdiri atas platform perkauman, kata Najib Razak menepis dakwaan Pakatan Harapan yang kemenangan di Cameron Highlands kerana isu perkauman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2019.

BUKAN kempen isu perkauman menangkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands semalam, kata bekas perdana menteri Najib Razak, menepis kenyataan calon Pakatan Harapan yang kalah, M Manogaran.

Sebaliknya, BN dan Umno tidak akan mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands tanpa sokongan pengundi Cina dan India di kawasan itu, jelas Najib.

“Saya tidak terima sama sekali… sebab kita tak pernah mainkan isu perkauman, apa yang kita lakukan adalah pertahankan hak Melayu dan bukan Melayu. Itu sahaja. 

“Kalau kita main isu perkauman, ada juga orang Cina, orang India sokong kita. Jadi tak mungkin dia akan sokong kalau kita main isu perkauman dan Umno tidak pernah berdiri atas platform perkauman,” kata Najib ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau ditemui selepas melawat pelakon dan pelawak Muhammad Yunus Abdul Rashid, atau lebih dikenali sebagai Ebby Yus, 54, di kediamannya di Kg Baru, hari ini. 

Manogaran dalam reaksi awal selepas kalah malam tadi berkata PH kalah di Cameron Highlands kerana kempen BN mainkan isu kaum.

Sementara itu, Najib turut menyindir Manogaran yang kalah untuk kali ketiga berturut-turut di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

“Saya tidak tahu, (mungkin) dia tidak serik kalah,” katanya.

Manogaran yang juga bekas ahli Parlimen Teluk Intan bertanding di Cameron Highlands tetapi kalah pada pilihan raya umum 2013 dan 2018. Cameron Highlands adalah kerusi BN sejak kawasan Parlimen itu diwujudkan pada 2004.

PRK semalam, yang diadakan selepas mahkamah menerima petisyen Manogaran, juga mencatat sejarah kerana calon BN, Ramli Mohd Nor menjadi ahli Parlimen pertama dari kalangan masyarakat Orang Asli. 

Pesara polis itu memperoleh 12,038 undi, menewaskan Manogaran yang memperoleh 8,800 undi. Ramli menang dengan majoriti 3,238 undi.

Calon Bebas, bekas pensyarah Sallehudin Ab Talib dan petani, Wong Seng Yee, masing-masing memperoleh 314 dan 276 undi.

Najib meluangkan kira-kira 15 minit bersama Ebby yang menderita pelbagai jenis penyakit termasuk buah pinggang bocor, jantung, darah tinggi, gastrik, masalah saraf dan prostat sejak beberapa tahun lalu.

Dalam lawatannya, Najib turut menyerahkan kemeja-T dengan gambar “Bossku” kepada Ebby.

Beliau turut mengharapkan Yayasan 1Malaysia yang diasaskannya untuk membantu artis dapat diteruskan kerajaan.

“Memang patut kerajaan bantu, ada yang yayasan masa saya dulu, Yayasan 1Malaysia yang membantu artis-artis yang dikendalikan oleh artis sendiri. Saya bagi dana dari semasa ke semasa. Saya harap yayasan ini dapat diteruskan,” kata Najib.

Tambah Najib, kehadirannya hari ini diharapkan dapat memberi perhatian kepada orang ramai berkenaan masalah kesihatan yang sedang dihadapi Ebby.

“Orang seni macam ini bila dia sakit, dia putus mata pencarian. Orang ramai patut tampil ke hadapan beri sumbangan pada dia sebab nama dia sebagai anak seni dia banyak menghiburkan kita. 

“Masa dia susah kita patut bantu dia. Itu sebab saya datang hari ini. Bila saya datang mudah-mudahan saya dapat ketengahkan permasalahan dia kepada orang ramai,” kata ahli Parlimen Pekan itu lagi. – 27 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen