.jpg)
KEMENANGAN calon BN dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands dengan majoriti jauh lebih besar, iaitu 3,238 undi, ini adalah satu manifestasi ke atas imej baharu Umno yang tidak lagi terbeban dengan isu rasuah ketuanya setelah presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada timbalannya, Mohamad Hasan, untuk mengetuai Umno.
Mohamad ternyata berjaya dalam pilihan raya kecil pertama yang disertai oleh beliau selaku pemimpin yang menjalankan tugas-tugas presiden Umno.
Penggunaan strategi yang tepat, khususnya penggunaan kaedah calon langsung yang bukan datang daripada mana-mana parti dalam BN, membolehkan parti-parti komponen BN tidak mempunyai alasan untuk tidak menyokong calon BN tersebut.
Calon langsung tersebut, Ramli Mohd Nor, merupakan seorang tokoh terkemuka orang asli yang berpengaruh, dihormati serta mempunyai keluarga yang ramai di kalangan orang asli selain diterima penuh oleh pengundi Melayu, termasuk penyokong PAS.
Selain itu, pemimpin BN sendiri, khususnya Mohamad dan Ramli, mempunyai strategi kempen yang baik di mana mereka tidak begitu dikesan suka melayani para wartawan dan menjawab provokasi dengan baik sekali gus mengurangkan kesilapan mereka.
Turut membantu adalah kerana Cameron Highlands terletak di negeri kelahiran Najib Razak yang masih mempunyai pengikut yang kuat di negeri tersebut hasil jasa beliau sewaktu menjadi perdana menteri dan menteri besar Pahang.
Ini ditambah pula dengan penglibatan sangat aktif Najib sendiri berkempen dengan turun padang dan membuat troll-troll sinis ke atas PH di mana troll-troll ini sangat mencuit hati dan mengusik sanubari rakyat, termasuk para pengundi.
Di pihak PH sendiri, ia gagal menangkis serangan BN dalam pelbagai isu yang relevan dengan kehidupan seharian pengundi, termasuk para peneroka, dari soal kegagalan menunaikan sesetengah janji manifesto hinggalah kepada isu perkauman dan keagamaan.
Pengundi Cameron Highlands juga tidak begitu termakan dengan isu skandal rasuah yang terus dijaja oleh pemimpin PH kerana isu ini kompleks untuk difahami dan isu ini sudah outdated, sebaliknya yang menjadi tumpuan kini adalah prestasi PH sebagai kerajaan.
Beberapa kesilapan besar PH yang ditularkan mengenai tindakan kurang beretika petugas PH membahagikan wang kepada sukarelawan dan menyalahgunakan kenderaan kerajaan juga telah mencalarkan imej PH selaku sebuah kerajaan yang mementingkan urus tadbir baik.
Di sebalik turunnya Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad, berkempen di hari terakhir, pengundi Melayu juga tidak begitu teruja untuk menyokong calon PH, M Manogaran, kerana beberapa serangan terbuka yang dibuat oleh pemimpin DAP kepada Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Pada akhirnya, saya melihat bahawa kekalahan PH ini adalah satu wake up call kepada pemimpin DAP khususnya yang dilihat terlalu mahu menunjukkan penguasaan dalam PH dan kepada pemimpin Melayu PH lain yang dilihat terlalu memberi muka kepada DAP.
Kekalahan PH ini juga tentulah akan meningkatkan tekanan kepada Ahmad Zahid untuk terus meletakkan jawatan sebagai presiden Umno selain akan melonjakkan lagi kerjasama antara PAS dan Umno dalam pilihan raya kecil selepas ini. – 27 Januari, 2019
* Dr Kamarul Zaman Yusoff merupakan pensyarah Universiti Utara Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen