Wanita calon pengebom bunuh diri dipenjara 7 tahun di Indonesia


Mahkamah di Jakarta menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas Dian Yulia Novi, 28, atas tuduhan merancang serangan keganasan. – Gambar CNBC, 30 Ogos, 2017.

MAHKAMAH di Jakarta menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas seorang wanita atas tuduhan merancang serangan ganas, lapor agensi berita Reuters.

Ini pesalah wanita yang pertama disabitkan atas tuduhan cubaan melakukan serangan ganas di republik itu.

Dian Yulia Novi, 28, ditangkap akhir tahun lalu atas dakwaan cuba meletupkan diri sendiri di luar Istana Presiden semasa pertukaran pengawal keselamatan. Dia ditahan bersama suaminya, Muhamad Nor Solikin.

Pihak pendakwa menuntut hukuman penjara 10 tahun namun dikurangkan oleh mahkamah kerana tertuduh mengaku bersalah.

Novi dikatakan menerima arahan daripada Bahrun Naim, seorang militan yang dipercayai sedang berjuang dengan IS di Syria.

Mahkamah Daerah Jakarta Timur menjatuhkan hukuman itu pada 25 Ogos lalu. Keputusan mahkamah itu dipercepatkan kerana tertuduh sedang mengandung dan dijangka bersalin September ini.

Suaminya berdepan dengan tuduhan sama dan dijadual dibicarakan pada 6 September ini.

Menurut pendakwa, Novi dipercayai dipengaruhi melalui media sosial semasa bekerja sebagai amah di Taiwan.

Channel News Asia tahun lalu melaporkan Novi pernah juga bekerja di Singapura.

Polis menjejak Novi selepas memintas sepucuk surat yang dia kirim kepada ibu bapanya menyatakan hasrat mahu berjihad. Polis kemudian menemui bom yang dirancang digunakan dalam serangan itu di bilik sewanya di Bekasi. – 30 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen