Najib Razak masih pegang Umno, BN


SM Amin

Ahli Parlimen Pekan Najib Razak berkempen atas jemputan Umno Pahang yang mengetuai jentera BN, dengan puluhan program disusun padat untuk beliau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2019.

WALAU Umno dan Barisan Nasional (BN) berdepan dengan krisis kepimpinan dan hala tuju selepas kalah pilihan raya hampir sembilan bulan lalu, ia dilihat masih dikuasai Najib Razak.

Pengaruh besar itu dilihat berdasarkan layanan yang diterima bekas perdana menteri itu ketika kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Kehadirannya selama lima hari dalam kempen itu malah menenggelamkan pemimpin Umno dan BN yang lain.

Ketika ditemui semasa singgah di Tapah, Perak dan Bentong, Pahang, Najib memberitahu The Malaysian Insight bahawa itulah sikap sebenar yang ditunjukkan oleh rakyat ke atasnya.

“Inilah diri saya yang sebenar. Jika dahulu sewaktu menjadi perdana menteri, sukar untuk saya bergerak bebas dan santai begini.

“Bila saya tidak lagi menjadi perdana menteri dan sudah sembilan bulan berlalu, rakyat dapat menilai kepimpinan saya selama sembilan tahun. 

“Bila rakyat punya minda terbuka, mereka kini melihat saya daripada perspektif yang lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Pekan itu berkempen atas jemputan Umno Pahang yang mengetuai jentera BN,  dengan puluhan program disusun padat untuk beliau.

Kehadirannya berkempen di PRK itu merupakan antara faktor yang menyebabkan calon BN, pegawai polis bersara Ramli Mohd Nor menang dalam pilihan raya semalam.

Ia merupakan PRK pertama antara lima PRK sejak PRU14 yang kempennya disertai aktif oleh Najib.

Keadaan itu berbeza dengan penyertaannya dalam kempen di PRK Dun Sungai Kandis, Selangor yang kurang disenangi oleh pihak tertentu termasuk daripada kalangan Umno sendiri.

Di Cameron Highlands, Najib disambut meriah oleh masyarakat dan pemimpin Umno.

“Itu (kempen di Sungai Kandis) satu kesilapan andaian dibuat oleh sesetengah orang pada peringkat awal sebelum ini. Sekarang ini baru orang tahu Najib masih ramai lagi penyokong dan peminat. 

“Kita dapat lihat ke mana sahaja dia pergi mendapat sambutan. Kita harap Najib akan terus memberikan sokongan untuk memulihkan Barisan Nasional,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman kepada The Malaysian Insight.

Kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak pada kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands menenggelamkan pemimpin Umno dan BN yang lain.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2019.

Kehadiran Najib, yang juga bekas menteri besar Pahang, dilihat menenggelamkan kempen pemimpin tertinggi Umno yang lain termasuk pemangku tugas presiden Umno, Mohamad Hasan.

Najib juga dilihat mengisi kekosongan sebagai daya yang menarik sokongan akar umbi kepada Umno, dengan ketiadaan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun kata Tajuddin, perkara tersebut perlu dilihat dari sudut positif.

“Kita tidak pandang secara negatif. Najib sedang membantu kenapa hendak dipertikai, dijadikan satu polemik pula. Mereka yang cakap banyak itu buatlah kerja juga,” katanya.

Sepanjang pergerakannya konvoi Najib bagaimanapun tidak menggunakan bendera BN manakala beliau hanya sekali memakai baju BN. Kenderaan kempen Najib sebaliknya menggunakan slogan barunya “Malu Apa Bossku”.

Ke mana sahaja lokasi yang Najib singgah, beliau disambut dengan laungan “Selamat Datang, Bossku” atau “Selamat Datang Boss Eng” yang membawa maksud sama dalam bahasa Semai.

Sepanjang kempen di Cameron Highlands, pemimpin Pakatan Harapan menjadikan Najib sebagai sasaran serangan, dan bukannya BN atau calon BN. 

Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam ceramah perdana di Tanah Rata berkata bekas perdana menteri itu tidak malu menjalankan kempen walaupun terpalit dengan pelbagai isu dan tuduhan yang menjejaskan imej negara. 

Perdana menteri yang juga pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, ketika berkempen pada hari kelmarin pula menyifatkan kempen Najib tidak lebih sekadar menjadi simpati.

Lim Kit Siang pula hampir setiap hari mengeluarkan beberapa kenyataan mengkritik Najib sehingga bekas perdana menteri menganggap veteran DAP itu terlalu taksub pada dirinya.

Lim juga meraih gelaran “menteri hal ehwal Najib” dari ahli Parlimen Pekan itu.

Kempen Najib juga tular di media sosial manakala mereka yang mencemuhnya turut diserang seperti yang terjadi pada chef Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

Malah pemimpin Umno sendiri, kekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga tidak terlepas daripada serangan penyokong parti kerana menyindir Najib.

Khairy diserang sedemikian kerana menyifatkan sindiran Najib ke atas PH tidak akan membuat orang ramai terlupa kepada skandal 1MDB yang dikaitkan pada bekas perdana menteri itu.

Mengulas kemenangan BN itu, Najib dengan gembira menyatakan ia satu kemajuan kecil bagi BN, yang kalah teruk dalam PRU14 dan siri pilihan raya kecil dilakukan selepas itu.

“Terima kasih Cameron Highlands. Barisan Nasional maju selangkah bersamamu,” katanya. – 27 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen