JABATAN Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sedang menyiasat kemungkinan Uber melanggar undang-undang negara itu merasuah pegawai kerajaan asing untuk menonjolkan kepentingan perniagaannya, kata syarikat itu semalam.
Syarikat yang berpejabat di San Francisco itu berkata ia akan bekerjasama dalam siasatan di bawah Akta Amalan Korup Asing, namun tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut.
Akta itu melarang amalan membayar pegawai kerajaan asing untuk mendapat perniagaan.
Laporan siasatan Amerika ini timbul ketika Uber dilihat sudah menemui teraju baru untuk mengendalikan syarikat perkhidmatan kongsi kenderaan itu, yang sebelum ini terbelit dengan pelbagai kontroversi.
Uber setakat ini belum mengesahkan laporan ia akan menamakan Dara Khosrowshahi, ketua pegawai eksekutif syarikat pelancongan dalam talian, Expedia untuk menggantikan Travis Kalanick sebagai teraju syarikat pemula itu.
Pengerusi lembaga Expedia Barry Diller bagaimanapun semacam mengesahkan pilihan pengganti itu dalam satu kenyataan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika.
Kerajaan Amerika awal tahun ini dilaporkan memulakan penyiasatan terhadap Uber atas penggunaan perisian rahsia yang membolehkan ia beroperasi di kawasan larangan.
Perisian yang dipanggil Greyball itu pertama kali didedahkan oleh The New York Times pada Mac. Ia membolehkan pemandu mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa yang menyamar sebagai pengguna Uber. – AFP, 30 Ogos 2017
Komen