SKMM sedia bantu siasat kebocoran data pelajar UiTM


Kalidevi Mogan Kumarappa

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedia membantu Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menyiasat kes kebocoran datan peribadi penuntutnya.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM, Mohd Shafie Harun berkata perkara itu bukan bawah bidang kuasa suruhanjaya itu namun sedia memberi bantuan teknikal.

“Kami masih menunggu arahan dan maklumat tambahan daripada UiTM. Pada masa ini, kami hanya mengetahui isu ini melalui laporan media. 

“Bagaimanapun, (masalah kebocoran) data peribadi tidak berada di bawah SKMM kerana kami hanya menyediakan bantuan teknikal,” katanya.

Kebocoran maklumat peribadi itu dilaporkan melibatkan 1.165 juta mahasiswa pelbagai tahun pengajian antara tahun 2000 dan 2018 di kampus utama Shah Alam dan 13 kampus negeri.

Kebocoran berkenaan juga dilaporkan melibatkan data mahasiswa di kolej yang mendapat tauliah UiTM termasuk Inpens, Kolej Yayasan Terengganu dan Kolej Yayasan Pelajaran Johor.

Turut terlibat, pelajar Institut Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Kolej Uniti, Kolej Chermai Jaya, Kolej Lagenda Langkawi and Institut Teknologi Perak.

Laporan itu menyatakan, butiran yang dibocorkan itu adalah kad identiti pelajar, nama pelajar, nombor Mykad, alamat rumah, alamat e-mel, kod kampus, nama kampus, kod program, peringkat pengajian dan juga nombor telefon bimbit.

Portal lowyat.net melaporkan kebocoran data itu berlaku sekitar Februari dan Mac tahun lalu namun tidak menyatakan alamat laman web yang memuatkan data berkenaan.

UiTM mengesyaki ia dibocorkan pihak tertentu tetapi bukan disebabkan penggodaman.

Naib canselornya Profesor Emeritus Dr. Hassan Said berkata UiTM akan menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan tidak berlaku sebarang salah laku oleh warganya.

“Sekiranya didapati perkara ini berlaku, pihak UiTM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.” – 26 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen