LILIN dan bunga-bungaan sudah pun memenuhi di pintu pagar bekas kediaman Puteri Diana di London sebagai memperingati ulang tahun kematiannya ke-20 tahun, yang masih membawa rasa duka di Britain.
“Dia bagai sinar di dunia yang gelap,” kata Putera William mengenai bondanya, Puteri Wales, yang kematiannya di Paris dalam satu kemalangan jalan raya, mengejutkan dunia.
“Saya masih merasakan kasihnya, saya masih rasa kehangatan sayangnya walaupun selepas 20 tahun pemergiannya,” kata putera sulung itu dalam dokumentari terbaru.
“Kalau saya dapat jadi sedikit pun sepertinya, saya akan bangga.”
Kehidupan Diana – seorang remaja aristokrat yang pemalu tiba-tiba menjadi wanita terkenal dunia – dan kematian tragiknya pada umur 36 tahun masih menawan jutaan orang di seluruh dunia.
Dua dekad berlalu, hanya sekarang baru dua puteranya William, 35, dan Harry, 32, dapat bercakap secara terbuka mengenai kematiannya, satu kejadian yang masih bergema dalam monarki dan masyarakat British.
Diana meninggal dunia dalam satu kemalangan kereta di Paris, awal pagi 31 Ogos, 1997 bersama kekasihnya, jutawan Mesir yang juga penerbit filem Dodi Fayed. Kereta mereka dipandu Henri Paul, yang agak mabuk, cuba mengelak paparazzi.
Pada ulang tahun kematiannya yang ke-10, upacara peringatan diadakan dan konsert amal di Stadium Wembley, London.
Tiada acara umum dirancang esok tetapi pada hari ini, dua beradik itu akan berada di taman yang didedikasikan khas mengenang Puteri Diana di Istana Kensington, kediaman rasminya di London ketika masih hidup.
Dua putera itu akan bertemu dengan wakil badan amal yang selama ini mendapat sokongan ibu mereka. – AFP, 30 Ogos, 2017.
Komen