Pengundi luar sanggup redah perjalanan jauh demi tunai tanggungjawab


Ravin Palanisamy Christopher Rabin

Pengundi menaiki motosikal untuk menunaikan tanggungjawab mereka mengundi di Post Betau mengundi pada PRK Cameron Higlands hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Januari, 2019.

DEMI menunaikan tanggungjawab dan hak, pengundi luar kawasan Cameron Highlands sanggup meredah perjalanan yang jauh untuk mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) hari ini.

Andrew Choong, 51, yang kini tinggal di Puchong, berkata walaupun terpaksa menempuh kesukaran, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mengundi bagi memastikan kawasan Parlimen itu mempunyai wakil rakyat yang bagus.

“Perjalanan amat memenatkan tetapi kami perlu datang kerana ia merupakan tanggungjawab kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dengan sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, Andrew berkata dia tidak kisah datang dari jauh untuk PRK kali ini walaupun menanggung kos tambahan.

“Ya ada kos tambahan tetapi saya tidak kisah. Sebagai rakyat Malaysia, ini merupakan tanggungjawab saya,” katanya.

Seorang lagi pengundi tempatan, M. Meghan, yang bekerja di Kuala Lumpur, berkata dia menaiki bas untuk pulang ke Cameron dan mengundi.

“Ini adalah tanggungjawab sebagai rakyat untuk mengundi setiap kali pilihan raya,” katanya.

Seorang pengundi wanita mengendong anaknya ketika mengundi di Post Betau mengundi pada PRK Cameron Higlands hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Januari, 2019.

Dia berkata situasi PRK diadakan semula adalah tidak dapat dielakkan dan sukar dijangka.

“Perkara seperti ini berlaku dalam setiap pilihan raya. Ada (wakil rakyat) meninggal dunia, keputusan dibatalkan dan lebih penting adalah rakyat perlu datang dan mengundi.

“Itu sebabnya saya sanggup bersusah payah pulang dan mengundi,” katanya.

Pengundi di SK Betau juga pulang ke sini untuk memenuhi tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat yang baharu.

Nizan Usop, 30, dari Kampung Sarang berkata sanggup memohon cuti sehari daripada majikannya untuk pulang mengundi dari Shah Alam.

“Saya menunggang motosikal dari Shah Alam untuk menyokong BN dan PRK kali ini diadakan sembilan bulan selepas PRU14. Saya tetap akan balik dan mengundi,” katanya. – 26 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen