Enggan masuk 'perangkap' Pakatan, Ramli pilih diam


Lee Chi Leong

Calon BN Ramli Mohd Nor memberi penjelasan bagi sikapnya yang kurang berinteraksi dengan media semasa kempen PRK Cameron Highlands. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Januari, 2019.

LEBIH selamat berdiam diri daripada jatuh ke dalam “perangkap” Pakatan Harapan (PH), kata calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor hari ini, menjelaskan mengapa beliau tidak bercakap dengan wartawan sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

“Bukannya saya tidak suka media. Saya dulu kerja apa sebelum ini? Saya biasa memberikan laporan kepada media bukan? Saya biasa dengan kamu semua, tetapi saya tidak mahu jatuh ke dalam perangkap mereka (PH).

“Semakin banyak bercakap, semakin banyak benda tidak sepatutnya keluar,” katanya ketika ditemui di luar Sekolah Kebangsaan Mensun pagi ini ketika pengundian sedang berlangsung untuk PRK hari ini.

Walaupun menjadi calon, Ramli hampir tidak menjadi tajuk berita dalam dua minggu terakhir kempen.

Sebaliknya, pemimpin lain daripada Barisan Nasional (BN), termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, lebih dilihat dan lantang apabila berkempen bagi calon Orang Asli yang pertama.

Wartawan sejak dua minggu lalu mendapati sukar untuk mendapatkan temubual penuh daripada Ramli, seorang pegawai polis berpangkat tinggi.

Ada sahaja “pengawal” daripada kem BN akan menyampuk apabila beliau ditanya soalan bagi menghalangnya daripada bercakap dengan media atau menjawab soalan bagi pihaknya.

Ramli hari ini ditanya mengenai dakwaan terhadap pekerja kempen PH yang kononnya mengagihkan sumbangan hadiah kepada penduduk Orang Asli di Kampung Terisu semalam.

Sekeping gambar kononnya dipapar pada akaun Instagram Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ramli berkata lebih baik beliau tidak memberikan sebarang komen dan diam.

Pesaing utama Ramli pada PRK ialah M. Manogaran daripada PH. Dua orang calon Bebas juga bertanding - petani Wong Seng Yee dan bekas pensyarah Sallehudin Ab Talib. – 26 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen