PKR dan harapan


SAYA tidak sama sekali mahu campuri urusan parti lagi sejak usaha akhir saya berjuang melawan rasuah melalui parti digagalkan dengan penolakan penubuhan Parti Bebas Rasuah.

Apalagi perkara libatkan sebuah parti yang pernah saya terlibat malah mengasaskan bersama dulu seperti PKR.

Hampir semua tokoh besar PKR pernah bekerja dekat dengan saya. Malah ada tokoh besar hari ini yang saya pilih sendiri dan bawa masuk ke dalam parti semasa masih mengaji di universiti.

Tentunya jalan mudah bagi saya adalah diam dan lihat saja babak demi babak yang berlaku hari ini.

Tetapi ramai rakyat yang meletakkan harapan kepada PKR hari ini minta saya memberi pandangan demi harapan murni mereka mahu melihat PKR berjaya membawa cita-cita rakyat biasa yang amat dahagakan perubahan.

Saya hanya bersedia untuk memberi hanya sedikit pandangan sesuai dengan sifat saya hari ini sebagai rakyat biasa juga seperti mereka. Kalau ada pun hanya sedikit kelebihan pengalaman berjuang dalam era getir.

PKR dan tokoh besarnya hari ini adalah harapan rakyat. Tetapi jangan sekali kali ambil enteng harapan dan dokongan rakyat ini. Maka berhati-hatilah dengan setiap tindak tanduk yang dipertontonkan kepada rakyat.

Berhujah dan mencabar secara terbuka boleh dilihat sebagai ciri kebebasan dan demokratik. Tetapi ingat pada sisi lain ia boleh dilihat sebagai lambang keangkuhan kerana terlalu yakin rakyat akan tetap sokong dan makanya mampu berbalah secara terbuka di hadapan rakyat.

Putik kejayaan awal perjuangan reformasi ialah apabila Umno dan BN dilihat terlalu angkuh dan terlalu yakin menang. Mereka tumbang kerana keangkuhan. Maka berhati-hatilah. Jangan sampai ada ciri keangkuhan yang dipamerkan kepada rakyat.

Sudah ada ciri-ciri keangkuhan di dalam sebuah parti (bukan PKR) dalam Pakatan Harapan (PH) yang acap kali beri kata dua kepada pihak lain yang tidak sealiran. PKR sebagai butir kelahiran perjuangan reformasi rakyat harus padamkan sifat keangkuhan ini.

PKR tiang seri PH. PH harus terus berdasarkan ciri lapang dada, berjiwa besar sesama kawan. Keangkuhan, memberi kata dua dan mencabar sesama kawan dan bekas kawan seangkatan bukan asas sebuah harapan. Ia asas sebuah kepunahan. – 30 Ogos, 2017.

* Mohamad Ezam Mohd Nor ialah pengerusi Hisbah Center for Reform.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen