Walau tipis, Pakatan ada peluang tawan Cameron Highlands


Sheridan Mahavera Noel Achariam Lee Chi Leong Christopher Rabin

Penduduk di Pos Betau memasang bendera Pakatan Harapan di kampung mereka sebagai tanda sokongan terhadap kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2019.

ATAS kertas, Pakatan Harapan (PH) dilihat hampir pasti kalah pada pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Kerajaan PH hanya mempunyai sedikit daya tarikan terhadap golongan Melayu luar bandar yang masih kecewa dengan harga komoditi dan mereka yang terpengaruh dengan kempen berbaur perkauman yang dimainkan pembangkang.

Mungkin juga PH sukar mengekalkan sokongan yang sama seperti pilihan raya umum lalu dalam kalangan pengundi Cina dan India memandangkan kebanyakan mereka merupakan pengundi luar dan mungkin tidak pulang mengundi.

Namun kalangan aktivis PH berkata perkembangan pada saat-saat akhir menunjukkan wujud peluang untuk melawan walaupun beberapa hari lalu tidak melihatkan sebarang harapan.

Jentera kerajaan pemerintah dipertingkatkan sejak beberapa hari lalu selepas melihat gelombang sokongan Orang Asli terhadap PH.

Malah pada masa yang sama, terdapat kemungkinan pengundi Melayu atas pagar masih boleh dipujuk untuk mengundi kerajaan hari ini.

Menurut analisis oleh pakar stragegi PH Dr Ong Kiang Ming, Pakatan hanya memerlukan lebih banyak sokongan orang Melayu dan Orang Asli iaitu sebanyak 30% berbanding 9% dan 10% yang diterima pada pilihan raya umum lalu.

Orang Melayu dan Orang Asli merangkumi 55% daripada keseluruhan 32,008 pengundi di Cameron Highland. Majoriti mereka tertumpu di Jelai, kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Pengundi Cina dan India masing-masing terdiri daripada 29.5% dan 14.9%.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menghadiri ceramah kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands di Sungai Koyan Satu semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2019.

Pilihan raya kecil kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN Ramli Mohd Nor, calon PH M. Manogaran dan dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Gelombang sokongan puak Semai terhadap PH di Sungai Koyan Satu merupakan bukti jelas apabila hampir 2,000 pengundi Orang Asli datang ke ceramah PH yang dihadiri pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad

Adi Aliew dan Nasri Bahari memberitahu The Malaysian Insight bahawa tiada siapa membayar mereka untuk hadir ke ceramah itu, tetapi mereka datang dengan kerelaan hati untuk menyokong PH.

“Kebanyakan orang kampung saya akan mengundi PH kali ini. Ada juga yang akan mengundi BN,” katanya lelaki berusia 21 tahun itu dari Pos Betau, sebuah kawasan penempatan di Semai yang menempatkan 1,129 pengundi.

Bagi Harun Siden yang merupakan Tok Batin Kampung Ulu Tuai di Pos Sinderut, beliau lebih yakin dengan peluang PH di kampungnya.

“Saya fikir 90% penduduk kampung akan memilih PH kali ini,” kata Tok Bati berusia 42 tahun itu ketika ditemui di ceramah Dr Mahathir semalam.

Bagaimanapun sokongan yang disuarakan wakil Orang Asli itu belum pasti dapat mengatasi kekuatan kubu BN yang bergantung kepada undi masyarakat itu, kata seorang lagi aktivis PH.

Katanya jentera kempen PH lebih tertumpu kepada pengundi atas pagar berbanding mendapatkan sokongan daripada pengundi tegar BN dan PAS.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim menyampaikan ceramah ketika kempen di Cameron Highlands. Pakatan mengharapkan sokongan pengundi atas pagar untuk menawan kubu kuat BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2019

“Terdapat jumlah pengundi atas pagar yang ramai di sini. BN tidak menguasai semua sokongan orang Melayu. Kita masih berpeluang, belum kalah lagi,” kata aktivis itu yang enggan dikenali.

Beliau ditugaskan untuk meraih sokongan pengundi Melayu kepada PH.

Walaupun perkembangan ini menggalakkan, aktivis itu mengakui kemenangan masih tidak pasti, memandangkan kebanyakan pengundi di Jelai biasanya mengundi BN.

Di Tanah Rata, para pemimpin PH bimbang pengundi India dan Cina di luar kawasan tidak boleh balik mengundi, bakal menjejaskan kemampuan pakatan untuk mengekalkan tahap sokongan 70% daripada kedua-dua kumpulan yang diperlukan untuk menang.

Ketua Komunikasi PKR Wong Chun Yuan berkata di antara kedua-dua komuniti itu, PH lebih bimbang dengan jumlah pengundi Cina, memandangkan pilihan raya itu tidak lama sebelum Tahun Baru Cina.

“Kami terlibat dengan rakyat, dan mereka di Lembah Klang akan balik. Tetapi, mereka yang tinggal lebih jauh tidak akan balik kerana Tahun Baru Cina bulan depan.”

Beliau berkata PH sudah membuat kemajuan dengan masyarakat India, kerana calon pakatan kali ini adalah orang India.

“Mereka sudah meminta anak-anak pulang, tetapi keluarga mengatakan ia adalah keputusan mereka (anak-anak). Sokongan India dalam PRU14 dan sekarang masih sama.” – 26 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen