Gelombang 9 Mei tak sampai ke Cameron Highlands


Jahabar Sadiq

Anggota SPR membuat persediaan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands di SMK Sultan Ahmad Shah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 25 Januari, 2019.

ADA yang masih belum berubah. Cameron Highlands dijangka menghantar wakil Barisan Nasional (BN) sekali lagi ke Parlimen, dan bukannya wakil Pakatan Harapan (PH).

Parti pemerintah sentiasa menganggap pembangkang tidak berguna dan tidak mampu menjalankan tanggungjawab.

Ini boleh dilihat daripada kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menganggap BN/Umno sebagai parti yang tiada masa depan dan tidak mampu berkhidmat kepada pengundi andai dipilih mewakili Cameron Highlands.

Badan pengkaji Ilham Centre sudahpun mengumumkan BN menang pilihan raya kecil itu dan veteran DAP Lim Kit Siang mengakui sukar membawa pengundi yang berada di luar kawasan untuk pulang mengundi.

Sejak diwujudkan pada 2004, kerusi itu kekal dikuasai parti BN, MIC. Parti berkenaan memberi laluan agar kerusi itu ditandingi Ramli, seorang bekas anggota polis keturunan Orang Asli di situ.

Memandangkan Cameron Highlands dikuasai BN sejak lama, sukar bagi PH untuk memenangi kawasan yang terkenal dengan ladang sayur, teh dan kelapa sawit itu.

Lagi pula, ia kawasan peladang luar bandar. Pekerja ladang dan Orang Asli ini mendapat kebajikan oleh kerajaan pimpinan BN.

PH menang pilihan raya umum lapan bulan lalu tetapi masih belum menunjukkan kebolehan mentadbir Malaysia walau dipimpin Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Cerita-cerita yang terbit dari Cameron Highlands menunjukkan PH sukar menembusi kawasan itu walau bekas penyandangnya Sivarrajh Chandran hanya meraih 587 undi majoriti dalam pilihan raya umum lalu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menganggap BN/Umno sebagai parti yang tiada masa depan dan tidak mampu berkhidmat kepada pengundi andai dipilih mewakili Cameron Highlands. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 Januari, 2019.

Kemenangan Sivarrajh kemudiannya dibatalkan dan hilang kelayakan bertanding di kerusi tersebut selama lima tahun apabila mahkamah mendapati kemenangan itu dicemari rasuah.

MIC bersetuju agar BN mencari calon lain untuk pilihan raya kecil itu.

Realitinya, BN tewas pilihan raya umum 9 Mei dan bukan dimenangi PH.

Pengundi BN tidak mengundi manakala penyokong PH beramai-ramai keluar untuk menghumbankan kerajaan Najib yang dibelit tuduhan salah urus kewangan berkaitan skandal 1MDB dan kerana memperkenal cukai baharu.

Akhirnya, PH menang dan membentuk kerajaan, dengan sokongan lebih besar di kawasan bandar di seluruh semenanjung dan di Sabah dan Sarawakl.

Namun negeri majoriti Melayu seperti Perlis dan Pahang kekal dengan BN/Umno manakala PAS mengekalkan Kelantan dan memenangi Terengganu.

Kemenangan ini bukan disebabkan sokongan kuat ke atas parti pemerintah pada masa itu kerana parti Dr Mahathir, Bersatu dan sekutunya, Amanah tidak dapat memecahkan cengkaman Umno dan PAS.

PKR, parti yang sebahagian besarnya Melayu tetapi berbilang kaum ini tidak dapat menembusi banyak kawasan luar bandar manakala DAP pula sentiasa dilihat sebagai parti cauvinis Cina.

Realitinya, BN tewas pilihan raya umum 9 Mei dan bukan dimenangi PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2019.

Imej itu kekal walau dalam kempen Cameron Highlands, ditambah lagi dengan kenyataan pemimpinnya yang mengungkit-ungkit hutang ditanggung negeri Pahang.

Bekas perdana menteri Najib Razak yang dilihat sebagai titik kelemahan dalam kempen PRU14 dan menyebabkan kekalahan bersejarah parti itu pula sekarang menjadi wira.

Satu, disebabkan Najib pemimpin Pahang dan bekas menteri besarnya. Kedua, PH lancar serangan bertubi-tubi dan tidak menjelaskan rancangan masa depan mereka, yang menyebabkan pemilih yang tidak keluar mengundi pada 9 Mei kini menyokong BN secara terbuka.

Sebab itulah PH memerlukan ‘mukjizat’ seperti disebut Kit Siang, untuk membolehkan pengundi di luar kawasan untuk mudik ke hulu dan memilih parti kerajaan.

Itu dijangka tidak akan berlaku, kerana pengundi tersebut akan pulang sekali lagi dua minggu kemudian untuk menyambut Tahun Baru Cina.

Dan mereka masih belum melihat kemajuan, program mahupun rancangan PH sejak 9 Mei.

Pada tarikh itu mungkin satu tsunami berlaku yang menghumban keluar pihak didakwa kleptokrat, tetapi gelombangnya tidak menjadi riak yang menggembirakan rakyat – walau di Cameron Highlands sekalipun.

* Jahabar Sadiq pengendali The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen