MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu diminta mengumumkan pelan beliau untuk mengangkat kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kesan legasi dipinggirkan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, gesa sebuah jawatankuasa veteran.
Selepas lapan bulan jadi Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan, Mohamad masih belum mengisytiharkan pelan dan inisiatif meningkatkan kebajikan tentera, kata badan yang menamakan diri sebagai Gerakan Reformasi Veteran ATM.
“Sehingga kini warga veteran masih tertunggu apakah hala tuju Kementerian Pertahanan Malaysia dalam menjada kebajikan warga veteran,” kata pengerusinya, Azizan Salleh dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada wartawan petang tadi.
“Adakah kerajaan PH masih mahu mengulangi kegagalan pihak BN dalam menjaga kebajikan veteran ATM?” tanyanya.
Azizan mengetuai lebih kurang 30 veteran mengadakan sidang media di perkarangan Tugu Negara di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada sidang media itu, beliau menggariskan beberapa tuntutan gerakan reformasi itu kepada Menteri dan Kementerian Pertahanan, antara peranan syarikat berkaitan ATM dalam menjaga kebajikan vetera.

“Kita berharap YB Menteri Pertahanan dapat melihat isu tersebut sebagai sebahagian agenda reformasi organisasi ATM dan kebajikan veteran,” katanya.
Beliau juga mencadangkan satu simposium khas membincangkan idea reformasi untuk kebajikan veteran dan anggota yang masih berkhidmat.
Azizan turut mengumumkan pihaknya akan menganjurkan satu rapat umum veteran tentera pada 11 Mac ini di lokasi yang akan ditetapkan kelak.

Dalam manifesto pilihan raya yang lalu, PH berjanji mengkaji semula kadar pencen pesara tentera untuk diselaraskan dengan kos sara hidup semasa.
Ia juga berjanji membiayai persatuan bekas tentera dengan peruntukan awal RM500,000 untuk setiap persatuan, termasuk bagi persatuan bekas pegawai polis. – 25 Januari, 2019.
Komen