KEMENTERIAN Pertahanan diminta menyelaraskan bayaran pencen untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia yang berbeza antara mereka yang berpencen sebelum 2013 dan selepasnya, kata sebuah badan bekas tentera.
Jawatankuasa Gerakan Reformasi Veteran Tentera Malaysia mahu isu itu ditangani oleh kerajaan sekarang walaupun sedar ia isu legasi daripada pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, kata pengerusinya Azizan Salleh.
Jelas beliau, perbezaan itu ketara sehingga lebih RM2,000, yang sangat dirasai mereka yang berpencen sebelum 2013.
“Ini menunjukkan ketidakadilan dalam menjaga kebajikan veteran tentera.
“Meskipun isu ini bermula dari kerajaan lama, kami berharap kerajaan baru dapat menyelarasnya selain mewujudkan pelan dan inisiatif yang dapat meningkatkan status kehidupan veteran tentera seperti kami,” katanya pada sidang media di perkarangan Tugu Negara di Kuala Lumpur, petang tadi.
Antara yang dituntut oleh jawatankuasa itu termasuk pelupusan dana baik pulih rumah bagi veteran kurang upaya dan kuota khas menunaikan haji bagi veteran.
Menurut Azizan, jawatankuasa yang dipengerusikannya itu memperjuangkan kebajikan lebih 400,000 veteran tentera yang taraf hidup mereka masih di tahap sederhana akibat kebajikan yang dipinggirkan sejak kerajaan lama.

Menurutnya, ada veteran kurang upaya yang menerima nasib lebih teruk apabila bantuan yang mereka terima cukup minimum sehingga tidak mampu untuk menyara keluarga.
Dalam pada itu, Azizan menggesa kerajaan memberi pengampunan kepada bekas tentera yang diberhentikan atas faktor disiplin atau sakit bagi membolehkan mereka menikmati faedah tertentu sebagai veteran selepas tempoh waktu tertentu.
“Kami juga berharap veteran tentera yang mempunyai pelbagai kepakaran diberi peluang pekerjaan dalam syarikat badan berkanun (GLC).
“Sekarang ini, jika sudah pencen, kami hanya boleh bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pemandu teksi,” katanya.
Sebelum ini, Unit Komunikasi Strategik, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata kerajaan sentiasa menjaga kebajikan anggota tentera atau Veteran ATM, dan akan membuat penambahbaikan bantuan sedia ada dari masa ke masa dengan mengambil kira kemampuan kewangan dan ekonomi kerajaan.
Antara bantuan yang disediakan sekarang termasuk sara hidup, pendidikan, perubatan dan rawatan, bencana alam, pengurusan jenazah dan perumahan, melalui Jawatan Hal Ehwal Veteran, kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan keluhan kira-kira 250,000 bekas tentera tidak berpencen di seluruh negara yang mendakwa tidak tahu status kebajikan di bawah pentadbiran kerajaan baru.
Dalam manifesto pilihan raya, Pakatan Harapan berjanji mengkaji semula dan menyelaraskan kadar pencen veteran tentera untuk diselaraskan dengan kos sara hidup semasa. – 25 Januari, 2019.
Komen