Najib berkempen untuk raih simpati, kata Dr Mahathir


Christopher Rabin Sheridan Mahavera

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Najib Razak berlakon seolah-olah ditindas dan cuba membersihkan imejnya dengan berkempen di PRK Cameron Highlands. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 Januari, 2019.

NAJIB Razak berkempen untuk Barisan Nasional (BN) di pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands semata-mata mahu meraih simpati untuk dirinya, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan dan juga perdana menteri, berkata Najib seolah-olah mahu menunjukkan dirinya ditindas dan cuba membersihkan imejnya selepas meletak jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sudah berbulan sejak beliau didakwa, tetapi masih bebas. Beliau mereka-reka cerita untuk meraih simpati. Apabila kita fikirkan, bolehkah kita percayakan beliau? Beliau mencuri duit, kita tidak boleh nafikan beliau mencuri duit,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di Masjid Sungai Koyan 1 hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada gimik yang digunakan bekas perdana menteri itu seperti slogan ‘Malu apa, bossku’ yang menjadi trending di media sosial dan digunakan dalam poster kempen di Cameron Highlands.

Najib aktif berkempen di kawasan itu selama beberapa hari pada minggu lalu dengan mengadakan pertemuan dengan pengundi dan menyampaikan ceramah.

Baru-baru ini beliau melawat kawasan majoriti Melayu di Jelai, disambut sekumpulan penyokong Umno dengan panggilan ‘bossku’.

Beliau juga menyatakan rasa bangga kepada penyokongnya selepas digelar sebagai Raja Troll kerana kelantangannya mengkritik kerajaan Pakatan Harapan menerusi hantaran dalam media sosial.

Bekas perdana menteri itu kini berdepan 39 pertuduhan rasuah, penggubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan memalsukan laporan berkaitan skandal 1Malaysian Development Bhd (1MDB).

Dr Mahathir turut mengadakan lawatan ke kubu kuat BN di Jelai hari ini pada hari terakhir kempen sebelum proses pengundian esok.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menafikan dakwaan bahawa Najib ditindas dan sebagai contoh, kerajaan memberi kelonggaran kepada beliau supaya tidak memakai baju lokap ketika didakwa di mahkamah.

Dr Mahathir berkata kepada pengundi bahawa Najib merupakan punca kerajaan menanggung hutang yang besar dan mendakwa ahli Parlimen Pekan itu membuat pinjaman banyak untuk kesenangan diri sendiri dan isterinya, Rosmah Mansor.

“Beliau percaya ‘cash is king’, diri sendiri tidak mempunyai wang. Seorang perdana menteri tidak memiliki pendapatan yang banyak. Jadi beliau terpaksa meminjam. Sepatutnya digunakan untuk pembangunan, tetapi beliau mencuri duit yang dipinjamnya.”

Kata Dr Mahathir, kerajaan Pakatan Harapan kini terpaksa menanggung hutang-hutang tersebut dan perlu membayar faedah sebanyak RM400 juta sebulan. β€“ 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen