Jatuhkan BN di Pahang dengan undi Cameron Highlands, kata Guan Eng


Christopher Rabin

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Pakatan Harapan mempunyai cara yang berbeza untuk melakukan sesuatu berbanding Barisan Nasional agar kempen benar-benar bersih. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Januari, 2019.

KEKALAHAN Barisan Nasional (BN) di Cameron Highlands akan menjadi “permulaan penamat” bagi gabungan bekas pemerintah di Pahang, satu daripada dua negeri yang masih diperintahnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Bercakap kepada wartawan semasa siri kempen di Kuala Medang sehari sebelum pengundian pilihan raya kecil (PRK) esok, Lim berkata ini adalah mengapa BN melawan dengan “fitnah, penghinaan dan ugutan”.

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) bermakna berjaya menewaskan BN di kubunya sendiri memandangkan ia memegang kerusi persekutuan itu sejak dibentuk pada 2003.

“Ia sudah menjadi kerusi mereka (BN), tetapi memenanginya akan menjadi bonus yang besar bagi kami,” kata Lim.

Selain Pahang, Perlis adalah satu-satunya negeri yang diperintah oleh BN berikutan prestasi pilihan raya terburuknya pada PRU 2018.

Lim, yang juga menteri kewangan, berkata PH mempunyai cara yang berbeza dalam melakukan sesuatu dan memenuhi keperluan rakyat, mengikut peraturan bagi memastikan kempen itu bersih.

Beliau berkata PH, walaupun menjadi kerajaan persekutuan, tidak mengumumkan projek untuk kawasan itu tidak seperti ketika BN berkempen pada masa lalu.

“Mereka memberi geran yang tidak pernah diberikan. Sebab itu penduduk Cameron Highlands mengatakan mereka berharap lebih banyak PRK, kerana mereka akan dapat lebih banyak bantuan.

“Kami (PH) tidak melakukan perkara ini di dalam kerajaan persekutuan. Kami mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya, jadi kami tidak mengumumkan projek seperti kerajaan sebelumnya,” katanya.

Lim juga mengakui pengundi bimbang mengenai kos sara hidup, sambil menambah inflasi keseluruhan untuk 2018 adalah 1%.

Beliau berkata ini mungkin kelihatan baik di atas kertas tetapi mengakui rakyat masih belum merasakan kelebihannya.

Beliau berkata terdapat faktor tertentu yang menyebabkan kenaikan harga dan beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution untuk menubuhkan jawatankuasa bagi mengatasi masalah ini.

“Secara asasnya, kami sudah mencapai matlamat untuk mengawal inflasi kerana ia lebih rendah daripada semasa di bawah GST.

“Bagaimana untuk mengurangkannya adalah cabaran seterusnya,” kata Lim. – 25 Januari, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen