Polis siasat kaitan Jho Low dengan TIA, perolehan RM5 bilion


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis sedang menyiasat kaitan antara Jho Low dan Terengganu Investment Authority (TIA) serta perolehan bernilai RM5 bilion melalui penjualan bon pada 2009. – Gambar fail AFP, 25 Januari, 2019.

POLIS menyiasat kaitan antara Jho Low dan Terengganu Investment Authority (TIA) serta perolehan bernilai RM5 bilion melalui penjualan bon pada 2009.

Polis memberitahu The Malaysian Insight, siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui sama ada Jho Low pernah menerima keuntungan daripada skandal 1MDB melalui jualan bon membabitkan bank tempatan dan broker Thailand.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan siasatan tersebut sedang dibuat.

Saiful bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya status siasatan mengenai pengaliran wang ke Jho Low melalui TIA dan menyatakan ia masih dalam siasatan.

Menurut sumber, siasatan polis itu bagi mengesan aliran wang kepada Jho Low serta pegawai di TIA yang bersubahat dengan ahli perniagaan itu melalui penjualan bon tersebut.

Pihak berkuasa juga sedang mengesan mana-mana individu yang menyembunyikan atau menyembunyikan fakta mengenai penjualan bon, dana yang disalahgunakan dan lain-lain penyelewengan yang boleh membantu siasatan skandal 1MDB, kata sumber.

Kerajaan Malaysia pada pertengahan bulan lalu memfailkan pertuduhan jenayah penipuan terhadap empat orang termasuk Jho Low dan dua bekas jurubank Goldman Sachs.

Pertuduhan sama turut difailkan ke atas penasihat undang-undang 1MDB berkaitan penyelewengan dana daripada bon yang dikeluarkan anak syarikat dana kedaulatan itu.

Sementara itu, laporan Bloomberg menyebut, siasatan berkenaan turut mencakupi dakwaan peranan bank di Singapura.

Agensi itu melaporkan, Jho Low dan rakannya Eric Tan dipercayai menerima dana haram AS$126 juta (RM521.5 juta) daripada perjanjian yang diatur oleh firma perbankan dan kewangan AMMB Holdings Bhd untuk bon RM5 bilion itu.

AMMB Holdings Bhd dilaporkan sebagai sebuah syarikat yang dikaitkan kepada Kumpulan AmBank yang melibatkan syarikat-syarikat di negara jiran, Thailand dan Singapura. – 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen