Jangan bina rumah mampu milik di kawasan terpencil, kata menteri


Christopher Rabin

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin ketika menghadiri majlis minum petang di Felda Sungai Koyan 3. Beliau berkata pembinaan rumah mampu milik perlulah berhampiran pengangkutan awam dan kemudahan lain untuk mengurangkan beban rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Januari, 2019.

RANCANGAN pembinaan perumahan mampu milik tidak boleh di kawasan terpencil, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Naib presiden PKR itu berkata beliau sudah meminta tanah yang sesuai untuk rancangan perumahan mampu milik, namun kerajaan negeri belum lagi memberikan kementeriannya senarai itu.

“Saya sudah berbincang dengan kerajaan negeri untuk menyenaraikan tanah yang sesuai untuk perumahan baru, tetapi sehingga kini mereka belum menyediakan senarai tanah yang sesuai untuk pembangunan.

“Tanah mesti sesuai. Kita tidak mahu tanah yang terpencil. Tanah itu sepatutnya berada berhampiran pengangkutan awam dan kemudahan untuk mengurangkan beban rakyat,” kata ahli Parlimen Ampang selepas menghadiri acara pertandingan memasak anjuran Pakatan Harapan (PH) di Jelai.

Beliau berkata kerajaan tidak mengikut apa dilakukan kerajaan persekutuan Barisan Nasional sebelumnya, memilih lokasi perumahan mampu milik yang membebankan penduduk dengan kos pengangkutan tambahan.

“Pembinaan perumahan mampu milik di kawasan pedalaman membebankan rakyat kerana ia meningkatkan kos menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

“Tanah untuk perumahan mampu milik akan disediakan oleh kerajaan negeri, tetapi lokasi tidak boleh menyebabkan kenaikkan kos hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata dasar federalisme kerajaan baharu bermakna ia tidak akan mengabaikan lagi kerajaan negeri pembangkang.

“Ini tidak seperti mekanisme lama BN, yang membuat pembayaran menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan bukan melalui kerajaan tempatan.

“Kami mengamalkan federalisme. Adalah menjadi tanggungjawab kita, tanpa mengira sama ada negara itu diperintah oleh pembangkang atau PH,” katanya. – 24 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen