KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedia memberi kerjasama penuh kepada agensi anti rasuah yang sedang menyiasat dakwaan skandal rasuah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kata Saifuddin Nasution.
Kementerian tidak akan menghalang proses siasatan dan akan patuh semua peruntukan undang-undang, kata menteri itu.
Beliau juga mengambil maklum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang dalam proses mengumpul dokumen dan belum membuat sebarang tangkapan malah mereka yang diambil keterangan setakat ini dianggap sebagai saksi bagi membantu siasatan.
“Saya sebagai menteri di mana SSM adalah satu agensi di bawah kementerian saya akan memastikan suruhanjaya itu akan memberi kerjasama sepenuhnya agar SPRM dapat menjalankan tugasnya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya, petang ini.
Mengulas lanjut mengenai keperluan siasatan dalaman sendiri, Saifuddin berkata pihaknya menyerahkan proses siasatan kepada SPRM yang sudah memulakan siasatan awal bulan ini.
“Sekiranya ada keperluan, saya tidak menolak kemungkinan kami akan membuat siasatan dalaman sendiri pada masa hadapan,” katanya.
SPRM sudah melakukan 10 siri serbuan keseluruhannya ke lokasi berlainan sejak siasatan bermula pada 9 Januari lalu bagi menyiasat skandal rasuah RM500 juta di SSM, sebuah agensi di bawah KPDNHEP.
Selain projek itu, The Malaysian Insight difahamkan SPRM turut menyiasat pemberian projek tanpa melalui tender terbuka oleh SSM sejak 2009 serta perolehan dan pembelian bangunan agensi itu di beberapa negeri.
Siasatan SPRM bermula dengan serbuan ke atas SSM pada 9 Januari lalu, yang sehingga ini membawa kepada rampasan 90 kotak dokumen yang dipercayai boleh membantu siasatan.
SPRM turut menyerbu premis empat syarikat di Kuala Lumpur, termasuk firma perakaunan di Bangsar South dan firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dakwaan skandal tersebut.
Sehari sebelum serbuan pertama, sebuah pertubuhan masyarakat menghantar memorandum kepada SPRM menggesa siasatan ke atas SSM. Memorandum itu menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi di SSM.
Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.
Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin di Dewan Rakyat pada 12 November lalu, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM.
Bung Mokhtar ketika itu mendakwa SSM memberikan projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia secara langsung kepada Formis Network Services Sdn Bhd tanpa melalui tender terbuka.
Beliau mendakwa kontrak secara rundingan terus bagi tempoh lima tahun, dan lanjutan mandatori untuk lima tahun apabila tamat, akan menyebabkan kerajaan rugi lebih RM250 juta. – 24 Januari, 2019
Komen