Pakatan buat laporan polis berhubung risalah berbaur perkauman 


Christopher Rabin

Adun Ketari, Syefura Othman (tengah) bersama Ketua Bahagian Bersatu Kampung Keledek Amini Kashfi menunjukkan saliran laporan polis dan rislaah yang tersebar pada sidang media hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Januari, 2019.

JENTERA Pakatan Harapan Jelai hari ini membuat laporan polis berhubung risalah provokatif yang ditemui di Masjid Sungai Koyan 1.

Penyelaras program PH Jelai Syefura Othman berkata, risalah berkenaan ditemui pagi tadi oleh Ketua Bersatu Bahagian Kampung Keledek Amini Kashfi pada jam 6.50 pagi.

“Risalah itu memaparkan gambar calon PH M. Manogaran dan Allahyarham Muhamad Adib dengan perkataan “DAP Hindu/Hindraf bunuh Adib” dan logo DAP diterbalikkan,” kata Syefura pada satu sidang media di pusat operasi PH di Sungai Koyan 3.

Syefira berkata, risalah berkenaan adalah provokatif perkauman, yang ditolak oleh kerajaan memerintah sekarang dan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis mengambil tindakan terhadap dalang yang menyebarkannya.

“Pakatan Harapan tegas menolak penghasutan sentimen perkauman di kalangan rakyat Jelai.

“Kami juga menggesa SPR untuk mengambil serius ini dan menyiasat isu ini yang melanggar Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menyentuh sensitiviti agama,” katanya.

Beliau yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari berkata, seluruh rakyat Malaysia mahukan keadilan atas kematian anggota bomba Adib, namun provokasi sebegini sudah melampaui batas.

“Kami juga mahu keadilan buat Adib, dan berharap mereka yang bertanggungjawab akan dihukum mengikut undang-undang.

“Bagaimanapun, kami tidak setuju dengan cara kempen oleh pihak lain, yang menimbulkan perkauman seperti ini dan mengharapkan kami berdiam diri,” katanya.

Katanya, berita palsu pada risalah yang mendakwa M. Manogaran adalah ahli Hindraf dan mengaitkannya dengan kematian anggota bomba Muhammad Adib Kassim dijangka akan menjadi modal politik pada dua hari terakhir kempen.

“Saya pasti akan berlaku lebih banyak provokasi antara kaum dan masyarakat terutama sekali di Jelai yang mana kebanyakan penduduknya adalah Melayu.

“Saya harap penduduk Jelai tidak terpengaruh dengan provokasi kaum dan melihat isu ini sebagai memalukan kita sebagai orang Islam,” katanya.

Risalah berbaur perkauman yang bertujuan untuk memprovokasi penduduk daripada mengundi calon India berikutan kematian Adib pada 17 Disember.

Adib meninggal dunia selepas mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas semasa insiden rusuhan kuil di Seafield, Subang Jaya pada November lalu.

Inkues kematian Adib akan dimulakan pada 18 Januari. – 24 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Apa yang sebenarnya berlaku yang telah menyebabkan kematian Adib belum di ketahui. Risalah ini memang sesuatu yang keterlaluan. Ada orang "desperate" sangat untuk menang pilihanraya kecil ini. Siapakah dia / mereka?

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan