Najib pertimbang debat dengan Kit Siang


SM Amin

Bekas perdana menteri Najib Razak bergambar bersama jentera pilihan raya Barisan Nasional ketika program kempen PRK Cameron Highlands di Ringlet hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Januari, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak sedia mempertimbangkan pelawaan debat secara terbuka antara beliau dan veteran DAP Lim Kit Siang.

Najib berkata keutamaan beliau ketika ini adalah untuk berhubung dengan rakyat dan bukannya mengenai Lim yang beliau sifatkan sangat obses tentang dirinya.

“Biar saya fikir dulu tentang perkara ini tetapi dia sangat obses tentang saya. Kita tengok nanti.

“Keutamaan saya adalah untuk engage (bertemu) dengan rakyat. Ini bukan soal seorang individu tetapi rakyat,” katanya ketika ditemui media semasa berkempen di Pos Betau pagi tadi.

Najib minggu ini mula menganggap Lim sebagai menteri hal ehwal Najib, gelaran yang diberikan kepada ahli Parlimen Iskandar Puteri itu kerana kerap mengeluarkan kenyataan mengenai dirinya meskipun tidak lagi memegang sebarang jawatan parti.

Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini menolak kemungkinan berdebat dengan Lim yang disifatkan beliau sebagai “buang masa”.

“Debat? Tidak tidak. Kenapa saya perlu debat dengan Lim Kit Siang? Buang masa,” katanya.

Mengulas mengenai taktik kotor kempen Pakatan Harapan (PH) yang mengugut dan merasuah Tok Batin, Najib mengingatkan parti kerajaan itu bahawa Orang Asli ada maruah.

Katanya, meskipun Orang Asli menerima tekanan daripada PH, sokongan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) masih utuh.

“Saya dengar ada orang sudah kena culik, kena ugut tetapi jelas waima apa saja yang mereka cuba lakukan, Orang Asli tetap bersama dengan BN.

“Orang Asli kena jaga maruah supaya tidak dipijak-pijak, diperbodohkan. Orang Asli ada nilai diri,” katanya dalam program yang sama yang dihadiri 18 Tok Batin.

Najib meneruskan kempen terakhir di Cameron Highlands sebelum pengundian pada Sabtu ini. – 24 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen