Presiden Turki salahkan dunia atas kekejaman menimpa Islam Rohingya


Rohingya, satu komuniti tidak bernegara terbesar di dunia yang terpaksa melarikan diri beramai-ramai ke Bangladesh untuk menghindari keganasan terbaharu di Rakhine. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2017.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan menyalahkan dunia yang seolah mengambil sikap “buta dan tuli” terhadap apa yang menimpa minoriti Islam Rohingya Myanmar, memetik sumber media tempatan.

Justeru beliau menggesa komuniti antarabangsa untuk meningkatkan usaha membantu golongan minoriti itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Rohingya, satu komuniti tidak bernegara terbesar di dunia yang terpaksa melarikan diri beramai-ramai ke Bangladesh untuk menghindari keganasan terbaharu di Rakhine.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih 3,000 pelarian tiba dalam tempoh tiga hari lepas kerana melarikan diri dari tentera Myanmar.

“Malangnya, dunia seakan buta dan tuli kepada apa yang berlaku di Myanmar,” kata Erdogan dalam satu wawancara televisyen yang disiarkan secara langsung sempena tiga tahun beliau menjadi presiden. 

Beliau menyifatkan ketibaan pelarian ke Bangladesh sebagai “keadaan amat  menyakitkan” dan berikrar akan membawa isu itu di Perhimpunan Agung PBB bulan depan. – Bernama, 29 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen