Pakatan cuba sehabis baik pikat pengundi Orang Asli


Sheridan Mahavera Christopher Rabin

Penempatan Orang Asli Pos Betau di DUN Jelai di Cameron Highlands antara daerah mengundi yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Januari, 2019.

SALEM Along pernah menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Tetapi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands beliau berhasrat mengundi Pakatan Harapan (PH) dan berharap dapat menarik ramai rakan dan jirannya di penempatan Orang Asli Pos Betau membuat pilihan yang sama.

“BN beri kami penempatan ini dan perladangan di sekitar sini. Tetapi selepas bertahun-tahun ekonomi teruk dan kami rasa terhimpit.

“Kami perlu cari jalan untuk mendapatkan ekonomi lebih baik, itu sebabnya kami terpaksa pilih parti yang boleh bantu, kami perlu pilih PH,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Salem salah seorang daripada ribuan pengundi dari puak Semai yang bersungguh-sungguh dipikat oleh PH dengan harapan untuk menang PRK Cameron Highlands.

Muhammad Azmi Abdullah, pegawai bertugas untuk kempen PH di DUN Jelai di mana terletaknya Pos Betau, optimistik PH akan mendapat 30% undi Orang Asli di kawasan itu.

Sasaran 30% perlu dicapai jika PH berharap untuk menang, menurut analisis badan pemikir, Ilham Centre.

“Berbanding PRU14, Orang Asli tidak begitu berani menyertai program anjuran PH. Tetapi hari ini saya lihat ramai yang keluar, jadi ia petanda yang optimis,” kata Azmi, susulan ramai belia Pos Betau datang menyaksikan pertandingan bola sepak anjuran PH.

Salem Along, 50, berkata pada PRK Cameron Highlands, dia ingin mengundi PH walaupun penempatannya sekarang di Pos Betau diberikan oleh BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Januari, 2019.

Pada pilihan raya umum lalu, PH hanya berjaya mendapat purata 10.1 % undi di daerah mengundi majoriti Orang Asli.

“Kelebihan PH ialah sebagai kerajaan ia dapat mempromosikan dasar yang akan membantu Melayu dan Orang Asli, yang dapat memberi keyakinan kepada mereka,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Azlan Zainal.

Azmi berkata setakat semalam, PH meningkatkan sokongannya dalam kalangan Orang Asli kira-kira 26%.

“Jadi sekarang kita akan buat sehabis baik untuk tambah lagi peratusan itu,” katanya yang juga setiausaha bahagian Bersatu Cameron Highlands.

Menurut data daripada Dr Ong Kian Ming, pakar strategi PH, terdapat sembilan daerah mengundi majoriti Orang Asli di kawasan itu. Antara yang terbesar ialah Pos Betau dan Pos Sinderut di Jelai di mana terdapat lebih 1,000 undi setiap satu.

Dengan tinggal dua hari kempen lagi, kedua-duanya PH dan BN melakukan sehabis baik untuk memujuk seramai mungkin pengundi Semai berpihak kepada mereka. – 24 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen