SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka lebih banyak kertas siasatan baru terhadap skandal di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), susulan siasatan awal dakwaan penyelewengan pegawai pengurusan tertingginya, kata sumber di dua agensi itu.
The Malaysian Insight difahamkan selain siasatan mengenai kontrak rundingan terus yang merugikan kerajaan, SSM akan disiasat berhubung beberapa perolehan dan pembelian bangunannya.
“SPRM menemui beberapa bahan bukti baru yang membolehkan kes lain dibuka,” kata sumber, yang enggan didedahkan identitinya.
Bahan bukti itu diperolehi daripada 90 kotak dokumen yang dirampas hasil serbuan SPRM sejak 9 Januari lalu ke atas 10 premis yang dikaitkan dengan projek SSM, kata sumber yang lain.
The Malaysian Insight menghubungi pegawai kanan SPRM untuk pengesahan namun pegawai berkenaan enggan mengulas dengan alasan tidak mahu menjejaskan siasatan.
Dalam pada itu, sumber di SSM memaklumkan mereka diberi amaran oleh pihak pengurusan untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai dakwaan skandal di agensi itu kepada mana-mana pihak.
The Malaysian Insight difahamkan SSM juga sedang disiasat berhubung perolehan dan pembelian beberapa bangunan pejabatnya di serata negara termasuk di Perak, Melaka dan Sarawak, yang keseluruhannya bernilai lebih RM94 juta.
Menurut sumber SSM, penyelewengan yang sedang disiasat agensi anti rasuah itu melibatkan beberapa pegawai pengurusan tertingginya, yang lantikan mereka sebelum ini dikaitkan dengan kronisme dan nepotisme, dan bukannya kerana prestasi kerja.
Sejak 9 Januari lalu, SPRM menyerbu ibu pejabat SSM di Kuala Lumpur dan kemudian ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya bagi membongkar skandal kontrak sebuah projek bernilai RM500 juta yang diberikan secara terus kepada sebuah syarikat.
Syarikat itu milik anak pegawai kanan SSM, kata sumber SPRM. Beliau dipercayai terlibat dalam penyelewengan kontrak suruhanjaya itu sejak ahli keluarganya dilantik memegang jawatan tinggi di SSM beberapa tahun lalu.
Selain SSM dan SKMM, premis lain yang diserbu ialah empat buat syarikat termasuk firma perakaunan di Kg Kerinchi, Kuala Lumpur dan firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis. SPRM juga menyerbu sebuah gudang di Semenyih dan rumah anak pegawai kanan SSM di Bandar Tasik Selatan, di Sg Besi, Selangor.
Lelaki dalam lingkungan umur 20-an itu semalam dipanggil untuk diambil keterangan oleh agensi anti rasuah itu di ibu pejabatnya di Putrajaya.
The Malaysian Insight juga difahamkan SPRM sedang menyiasat seorang lagi anak pegawai kanan SSM yang lain, berhubung kes yang sama.
Serbuan SPRM ke atas SSM dibuat sehari selepas sebuah pertubuhan masyarakat menghantar memorandum kepada agensi anti rasuah itu menggesa siasatan ke atas SSM, yang menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.
Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin di Dewan Rakyat pada 12 November lalu, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM.
Bung Mokhtar ketika itu mendakwa SSM memberikan projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia secara langsung kepada Formis Network Services Sdn Bhd tanpa melalui tender terbuka.
Beliau mendakwa kontrak secara rundingan terus bagi tempoh lima tahun, dan lanjutan mandatori untuk lima tahun apabila tamat, akan menyebabkan kerajaan rugi lebih RM250 juta. – 24 Januari, 2019
Komen