Dalam rundingan MA63, jangan lupa kita sebuah negara


The Malaysian Insight

MA63 adalah undang-undang asas dalam pembentukan Malaysia, dan memberikan Sabah dan Sarawak autonomi dalam beberapa bidang termasuk pendidikan, imigresen dan hasil. Namun dari tahun ke tahun, hak-hak itu mengendur dan kedua-dua wilayah jadi negeri biasa dalam Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2019.

DI ATAS kertas, isu tertunggak mengembalikan hak kepada Sabah dan Sarawak seperti yang terjamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh diselesaikan menjelang Oktober ini.

Di atas kertas, luka yang bernanah sejak berdekad-dekad lamanya dan menimbulkan rasa tidak puas hati antara Malaysia Timur dan Kerajaan Persekutuan boleh dirawat dan disembuhkan untuk selama-lamanya dalam masa beberapa bulan.

Namun realitinya, isu MA63 akan tersangkut untuk suatu tempoh lagi.

Sebabnya: harapan antara Putrajaya dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak tidak sama, ditambah dengan pihak berkepentingan yang berpengaruh di kedua-dua negeri.

MA63 adalah undang-undang asas dalam pembentukan Malaysia, dan memberikan Sabah dan Sarawak autonomi dalam beberapa bidang termasuk pendidikan, imigresen dan hasil. Namun dari tahun ke tahun, hak-hak itu mengendur dan kedua-dua wilayah jadi negeri biasa dalam Persekutuan.

Dalam manifesto pilihan rayanya, Pakatan Harapan (PH) berjanji mengembalikan status setara Sabah dan Sarawak. Pada September lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengotakan janji pilihan raya itu.

Peguam Negara Tommy Thomas menggariskan kedudukan kerajaan dalam ucapannya pada pembukaan tahun perundangan, Sabtu lalu.

Katanya, kerajaan Dr Mahathir serius mahu menangani isu MA63, seperti yang ternampak dengan penubuhan jawatankuasa pemandu, teknikal dan kerja.

Semua jawatankuasa ini dijangka menyempurnakan tugasnya menjelang akhir Jun, dan kemudian menyiapkan satu laporan.

Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain boleh dibentangkan di Parlimen pada sesi Oktober ini. 

Namun katanya, untuk mencapai konsensus dan jadual yang ditetapkan, semua pihak harus bertolak ansur.

Proses mengembalikan hak Sabah dan Sarawak mesti dilakukan dengan munasabah dan cermat. Pada masa sama, sikap degil dan keras kepala mesti dielak, kata peguam negara.

Thomas merumuskan: “Kepelbagaian yang menyatukan kita pada 1963 harus bersinar cerah di bawah matahari Malaysia.”

Ucapan beliau tidak meraih banyak sokongan.

Ucapannya diikuti dengan ucapan wakil Sabah dan Sarawak. Inti pati ucapan mereka ialah perubahan landskap politik Malaysia adalah peluang bersejarah untuk dua negeri itu menuntut semula hak yang terhakis.

Dalam manifesto pilihan rayanya, kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad berjanji mengembalikan status setara Sabah dan Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2019.

Sabah dan Sarawak mesti mematuhi undang-undang untuk mencapai apa yang mereka hajati. Tiada cakap-cakap dengan jalan tengah atau bertolak ansur.

Apa yang mereka tegaskan ialah aspirasi rakyat mesti dipenuhi. Autonomi dan penghakisan hak yang termaktub di bawah MA63 adalah isu hangat dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini.

Apa yang menjengkelkan Sabah dan Sarawak ialah isu hasil. Di bawah MA63, kedua-dua negeri berhak pada royalti dan hasil minyak yang lebih banyak berbanding yang mereka terima sejak bertahun-tahun.

Kerajaan Sarawak percaya hak rakyat Sarawak akan jadi isu paling utama pada pilihan raya akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing baru-baru ini berkata pilihan raya negeri 2021 akan bertolak pada satu soalan: Adakah anda sebagai sebagai rakyat Sarawak mempertahankan hak Sarawak? Ia satu hujah politik yang mudah, katanya.

Bagi seorang ahli politik, ia mungkin hujah politik yang mudah.

Tetapi ada banyak yang dipertaruhkan dalam proses mengembalikan hak Sabah dan Sarawak. Sekiranya perbincangan mengenai MA63 diapi-apikan dan semua pihak mengambil pendekatan hendak menang sendiri, yang akan rugi besar ialah Malaysia.

Perbalahan secara terbuka yang berpanjangan boleh meracuni hubungan antara rakyat dan itu akan jadi sesuatu yang sangat mendukacitakan.

Dr Mahathir perlu menunaikan janji pilihan raya pakatan politiknya dan pada masa sama meyakinkan semua pihak bahawa tidak mungkin mereka akan dapat segala yang dihajatkan di meja rundingan.

Pemimpin Sabah dan Sarawak perlu menggunakan segala kelebihan yang mereka ada untuk mendapatkan hasil yang terbaik untuk negeri masing-masing.

Kita memahami realiti ini.

Kita cuma berharap mereka yang duduk di meja rundingan juga akur bahawa mereka juga rakyat Malaysia. – 23 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen