SPRM tahan bekas Adun DAP untuk pendakwaan 


Kalidevi Mogan Kumarappa

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP di Selangor berhubung dua kes tuntutan palsu bernilai kira-kira RM30,000, hari ini.

Menurut sumber, lelaki yang berusia 41 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada jam 3 petang dan dijangka akan didakwa di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009  di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok.

Lelaki itu didakwa membuat tuntutan palsu bagi dua program kemasyarakatan iaitu Pesta Tanglung 2015 berjumlah RM20,000 dan Program Sambutan Hari Guru 2015 berjumlah RM13,380, namun kedua-dua program berkenaan tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat SPRM menyatakan agensi itu mendapat izin mendakwa bekas Adun Selangor pada jam 9 pagi esok. – 23 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen