Ramai rakyat Malaysia kembali bekerja dalam negara selepas Pakatan menang PRU14


Mohd Farhan Darwis

Perkara itu dapat dilihat melalui permohonan Program Kepulangan Pakar (REP) di bawah Talent Corporation (TalentCorp) yang meningkat 20% sepanjang tahun lalu, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2019.

SEMAKIN ramai rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara kembali untuk bekerja di dalam negara selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Katanya perkara itu dapat dilihat melalui permohonan Program Kepulangan Pakar (REP) di bawah Talent Corporation (TalentCorp) yang meningkat 20% sepanjang tahun lalu.

“Biasanya antara 400 hingga 500 permohonan diterima, tapi tahun ini kita sasar 1,000 kerana jumlah permohonan meningkat. 

“Ini menunjukkan keyakinan terhadap ekonomi dan kerajaan, kita alu-alukan mereka kembali untuk berkhidmat dalam negara,” kata Kula Segaran ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke pejabat TalentCorp di Petaling Jaya, hari ini. 

Kula Segaran berkata, kebanyakan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dan ingin kembali bekerja di dalam negara terlibat dalam bidang pembuatan, perkhidmatan perniagaan dan pendidikan.

“Mereka ini kebanyakannya bekerja dalam dalam bidang pembuatan, perkhidmatan perniagaan, dan pendidikan.

“Peningkatan ini menunjukkan ke arah itu (sebab tukar kerajaan), kerajaan baru memerintah, ekonomi dan sistem baru, ia menggalakkan ke arah yang lebih positif,” katanya lagi. 

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, dianggarkan seramai sejuta rakyat Malaysia yang dipercayai bekerja di luar negara. 

Dalam sidang media itu, Kula Segaran turut mengumumkan perpindahan TalentCorp daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Sumber Manusia.

Matlamat baru TalentCorp katanya adalah untuk memberi tumpuan kepada inisiatif dan intervensi untuk mewujudkan peluang kepada para profesional dan graduan di Malaysia. 

“Malaysia kini menghadapi banyak cabaran termasuk memastikan kita mampu memenuhi permintaan terhadap peningkatan penawaran bakat sedia ada yang berpengalaman, tenaga kerja yang bersedia dengan Revolusi Perindustrian ke-4.

“Bagaimanapun, Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2017 menunjukkan hanya 28% daripada tenaga kerja di Malaysia adalah berkemahiran tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, wujud keperluan mendesak untuk mewujudkan kumpulan profesional berkemahiran tinggi di Malaysia,” katanya.

TalentCorp ditubuhkan pada 2011 di bawah JPM termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-10 yang menyatakan Malaysia amat memerlukan bakat berkemahiran tinggi untuk pasaran kerja tempatan. – 23 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen