2 kakitangan universiti direman kes minta RM30,000


Kalidevi Mogan Kumarappa

DUA kakitangan awam sebuah universiti awam di Selangor ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan bernilai RM30,000.

Majistret Shazali Hidayat Shariff membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman kedua-dua suspek.

Individu berkenaan merupakan seorang penolong pengarah berusia 42 dan seorang pembantu tadbir kanan berusia 47 tahun sehingga Selasa depan.

Menurut sumber, kedua-dua mereka ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada jam 10.45 malam semalam selepas mereka hadir memberi keterangan.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat menerima suapan bernilai lebih RM30,000 daripada seorang pemilik syarikat pengiklanan.

Ia didakwa sebagai balasan memilih dan mengesyorkan syarikat itu bagi kerja pembekalan dan percetakan di universiti itu.

Sumber berkata, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, namun tidak mengulas lanjut kes berkenaan. – 23 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen