Maafkan Umno untuk lawan Pakatan, kata Nik Abduh


Sheridan Mahavera Christopher Rabin

Nik Abduh Nik Abdul Aziz merayu ahli parti itu memaafkan musuh lama mereka Umno, kerana musuh baharu lebih teruk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Januari, 2019.

AHLI PAS perlu memaafkan Umno untuk melawan musuh lebih besar, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam usaha beliau meraih undi penyokong parti Islam di Cameron Highlands itu diberikan kepada calon Barisan Nasional.

Nik Abduh adalah pemimpin terbaru PAS yang cuma menghapuskan rasa tak puas hati dirasai ahli biasa PAS terhadap BN dan Umno, kesan permusuhan mereka berdekad lamanya.

Pemimpin kanan PAS sudah berikrar memberikan sokongan mereka kepada calon BN Ramli Mohd Nor pada pilihan raya kecil yang akan mengundi 26 Januari ini, yang boleh memberikan sekitar 3,000 undi tambahan kepada bekas parti pemerintah itu. Tetapi, difahamkan mereka bimbang permusuhan yang sudah lama wujud antara PAS dan Umno akan menyebabkan ahli mereka tak keluar mengundi.

Pada ceramah malam tadi, Nik Abduh menghabiskan separuh daripada ucapan 20 minitnya bercakap soal memaafkan kesilapan Umno untuk berdepan kerajaan Pakatan Harapan.

Menurutnya, jika hendak diikutkan, Presiden PAS Abdul Hadi Awang adalah orang yang sepatutnya berasa paling sedih kerana bertahun pentadbirannya ditindas Umno yang menghentikan bantuan kerajaan kepada wakil rakyat parti Islam itu malah ada ahli yang dipenjarakan.

“Dalam kesedihan dia pun, apabila Umno kalah dan pemimpin Umno datang berjumpa dengan dia, dia orang pertama kata orang PAS kena bersama dengan Umno,” katanya pada ucapan di Felda Sungai Koyan 1 malam tadi

 “Kerana depan kita ada kerajaan lebih teruk dari BN. Kita kena belajar buka otak kita seperti mana pemimpin kita membuka otak mereka. Kita buat bukan kerana kita tamak (hendak mentadbir) Putrajaya.

 “Tapi kerana kita mahu bukan satu lebaran baru dalam politik Malaysia. Kita nak PAS dan Umno berjaya, bersatu atas nama agama dan negara untuk ambil balik Putrajaya dan pulihkan negara yang sedang dirosakkan oleh kerajaan PH.”

Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata ahli PAS patut menerima Umno kerana lima tahun untuk Pakatan Harapan terlalu lama dan kesannya buruk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Januari, 2019.

Nik Abduh juga membangkitkan skandal tarian terbaru antara peguam dan hakim tertinggi negara sebagai bukti PH lebih buruk daripada Umno.

“Hakim tak boleh menari di khalayak ramai, ia melanggar tatasusila sesuatu jawatan yang sangat dihormati orang,” katanya.

Beliau merujuk kepada kontroversi melibatkan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum dan Peguam Negara Tommy Thomas yang dirakam menari sepentas dengan pemimpin “pro Pakatan Harapan” seperti Ambiga Sreenevasan dan Siti Kasim.

 “Umno pun tak pernah buat ni. Kalau Umno digantikan dengan kerajaan lagi molek tak pa. Kita boleh terima. Tapi ini (PH) lebih teruk dari Umno. Kita takut nak biar kerajaan ini pegang lima tahun.”

Menurutnya lagi, walaupun ada beberapa tindakan PH yang baik seperti lebih banyak kebebasan bersuara dan membayar royalti minyak kepada Terengganu yang ditadbir PAS, kebaikan itu tidak berupaya menandingi keburukannya.

PRK Cameron Highlands menampilkan pertandingan empat penjuru antara Ramli (BN), M Manogaran (PH) dan dua calon Bebas, Sallehudin Abd Talib dan Wong Seng Yee. – 23 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen