DUA ceramah pada malam Ahad tempohari menggambarkan betapa besar undi daripada penyokong Parti Islam Semalaysia (PAS) boleh mengubah landskap Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan para aktivis parti Islamis itu kini bekerja lebih masa bagi memastikan undi-undi dari penyokongnya tidak diberikan kepada Pakatan Harapan (PH).
Kedua-dua ceramah itu bukan sekadar pertarungan antara dua pandangan Islam yang berbeza dalam landskap politik. Ia juga mencerminkan kegentingan peluang yang dimiliki PH dalam pilihan raya kecil ini dan bagaimana peluang kemenangan mereka bergantung kepada bagaimana penyokong PAS mengundi pada 26 Januari nanti.
Pakatan pemerintah telah menyiapkan pentas bergeraknya di sebuah dataran kecil di Felda Sungai Koyan 1 dan menjemput seorang pendakwah bebas dan seorang bintang yang semakin meningkat naik Nik Omar Nik Abdul Aziz bagi membincangkan prinsip kepimpinan Islam. Kelihatan sekitar 100 orang mengisi kerusi di hadapan pentas.
Satu minit berjalan kaki, PAS dan pemimpin Umno pula siap meletakkan pentas mereka sendiri di tempat letak kereta di persimpangan utama Sungai Koyan. Orang ramai, termasuk anak-anak muda bermotosikal bersama makcik-makcik bertudung litup duduk di atas tikar, menunjukkan saiz hadirin lebih besar 30 kali ganda daripada ceramah PH.
Walaupun hadirin yang hadir turut terdiri daripada penyokong Umno, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berkata majoriti daripada mereka adalah terdiri daripada penyokong dan pengundi. Dan sememangnya parti Islam itu berharap kehadiran pada ceramah itu diterjemahkan kepada undi bagi Barisan Nasional.
“Kami perlu pastikan bahawa 90% penyokong kami mendukung calon BN. Undian Umno kukuh di belakang Barisan Nasional. Namun, oleh kerana PAS tidak bertanding dalam pilihan raya ini, PH fikir ia boleh dapat undi penyokong kami. Kami adalah undi penentu dalam pilihan raya kali ini,” kata Rosli, di Al-Hidayah, sebuah markas PAS di Sungai Koyan yang menjadi ibu pejabat utama mereka untuk misi pilihan raya kecil itu.
“PH akan terus mengulangi pembohongan yang sama kepada penyokong PAS yang mengatakan dalam pilihan raya umum lalu, bahawa PAS mengambil RM90 juta daripada Umno kerana kami kini bekerjasama dengan BN. Jadi, kami perlu hentikan perkara ini dan itulah sebabnya kami keluar berkempen,” kata Rosli, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur di Pahang. – 23 Januari, 2019.
Komen