PESARA, orang yang mengalami masalah lembam dan penagih dadah antara ciri individu yang berpotensi tinggi dijadikan keldai akaun oleh sindiket penipuan menurut penyiasat polis Bukit Aman.
Selain itu, penganggur, golongan yang mempunyai rekod buruk dengan bank dan individu yang sedang mencari pekerjaan, juga senang menjadi sasaran, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
Turut menjadi sasaran adalah golongan yang tiada pekerjaan tetap atau tidak bekerja seperti suri rumah, dan penuntut kolej dan pekerja sosial, kata Pemangku Pengarah JSJK Saiful Azly Kamaruddin.
Sindiket bertanggungjawab turut merekrut keldai akaun dengan menyamar sebagai kekasih alam maya dan kenalan baru, katanya kepada The Malaysian Insight.
Itu adalah hasil soal siasat jabatannya atas 145 keldai akaun berusia 19 hingga 63 tahun yang ditahan melalui Ops Mule Account di seluruh negara selama tiga minggu sejak 10 Disember lalu.
Saiful Azly berkata golongan ini menjadi menjadi sasaran kerana mudah terpedaya disebabkan tidak mempunyai pendapatan tetap dan terdesak untuk mendapatkan wang dengan mudah dan pantas.
Katanya, kalangan mangsa itu juga didapati pernah membuat pinjaman dengan along, berkenalan dengan individu tidak dikenali melalui laman sosial dan menjalankan urus niaga dalam talian.
Golongan ini menjadi mangsa apabila menyewakan kad ATM mereka untuk digunakan oleh sindiket terbabit, kata Saiful Azly.
Namun tetapi terdapat juga mangsa yang kehilangan dompet mengandungi maklumat bank, katanya.
“Biasanya keldai akaun ini dibayar RM100 hingga RM300 sekiranya meminjamkan kad ATM dan maklumat akaun bank.
“Ada yang dibayar antara RM250 hingga RM550 jika menjual kad ATM kepada sindiket,” katanya.
Sindiket berkenaan menggunakan akaun tersebut untuk memasukkan duit dalam jumlah yang banyak sebelum memindah keluar wang berkenaan.
Saiful berkata, Ops Mule Account itu mensasarkan pemilik akaun yang dikesan terbabit dengan jenayah telekomunikasi, perbankan dalam talian, Macau scam dan pinjaman tidak wujud.
Bagi memastikan diri tidak menjadi keldai akaun, JSJK menasihati orang ramai agar tidak membenarkan individu lain menggunakan akaun mereka.
Mereka yang didapati menjadi keldai akuan dengan rela atau tidak sengaja boleh disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 414 KK, Seksyen 424 KK, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil serta pelanggaran terma dan syarat pembukaan akaun bank. – 23 Januari, 2019.
Komen